Berita

Apakah dana 1MDB USD1.1 bilion benar-benar ada di Singapura?

KUALA LUMPUR, 23 APR: Pendedahan terbaru mengenai dakwaan ‘pemalsuan’ akaun syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menimbulkan lebih banyak tanda tanya.

Dalam satu pendedahan mengejutkan The Sarawak Report, Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa menyebarkan penyata kewangan palsu mengenai kewangan syarikat tersebut berkait aset dan tunai yang dipegang sebuah bank di Singapura.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, jawapan Menteri Kewangan di Parlimen pada sidang lalu meragukan, kerana mendakwa keseluruhan simpanan bernilai USD1.1 bilion di kepulauan Cayman telah ditebus dan disimpan secara tunai di BSI Bank Singapura.

“Laporan tersebut mendakwa bahawa cawangan Swiss Bank Singapura memaklumkan pihak berkuasa Singapura bahawa dokumen (palsu) itu tidak dikeluarkan pihak mereka dan tidak mencerminkan aset sebenar anak syarikat 1MDB,” ujar Tony, merujuk dakwaan tunai dan aset yang disimpan di bawah akaun anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited.

“Mungkin inilah sebabnya kenapa pihak Menteri terpaksa memberikan alasan yang tidak boleh dipercayai kepada saya tentang mengapa 1MDB tidak boleh membawa pulang wang tunai ke Malaysia untuk membayar hutang-hutangnya.” ujar Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

Kementerian Kewangan dalam jawapan Parlimen bertarikh 10 Mac 2015 menyatakan bahawa baki dana pelaburan 1MDB yang diuruskan Cayman Monetary Authority berjumlah USD1.103 bilion telah ditebus dalam bentuk wang tunai dan masih disimpan dalam mata wang Dolar AAS di BSI Singapura.

Kementerian menambah, ‘keputusan menggunakan bank di Singapura bertujuan memudahkan urusan pengeluaran wang, memandangkan peraturan ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan kelulusan BNM bagi setiap transaksi melebihi RM50 juta’.

“Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri mesti mengesahkan sama ada jawapan diberikan kepada saya di Parlimen benar-benar tepat, bahawa dana USD1.1 bilion tersebut tersimpan secara tunai di BSI Singapura,” tegas Tony. – Roketkini.com