Berita

Kenapa PDRM masih tak keluar waran tangkap terhadap Jho Low?

PETALING JAYA, 25 APR: Selepas banyak laporan dan pendedahan mengaitkan taikun muda Jho Low dalam kontroversi RM 42 bilion 1MDB, kerajaan masih teragak-agak memanggilnya untuk siasatan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua menyifatkan pihak polis seperti ‘siput yang lembab’ dalam penyiasatan 1MDB apabila mengumumkan pasukan khas siasatan 1MDB 9 Mac lalu.

“Namun, sudah hampir dua bulan. Kita dengar hanya sedikit saja kemajuan tentang siasatan terhadap 1MDB.

“PDRM patut malu bila portal internet yang kecil seperti Sarawak Report boleh dapatkan dokumen-dokumen lebih cepat dari pihak berkuasa Malaysia.

“Sepatutnya polis berterima kasih kepada Sarawak Report kerana buat kerja dalam menyediakan bukti-bukti dan menyenaraikan semua aliran wang yang menghantui dana 1MDB,”kata Tony Pua dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Sarawak Report mendedahkan bagaimana USD 860 juta dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaun bank Good Star Limited yang dikawal Jho Low di Bank RBS Coutts yang berpengkalan di Switzerland.

Tidak setakat itu sahaja, Jho Low juga didakwa mengawal akaun yang menyimpan sejumlah USD 528 juta di Bank BSI berpengkalan di Singapura.

Tambah memalukan, Sarawak Report melaporkan pihak berkuasa Singapura disifatkan lebih telus apabila agensi negara itu telah mengutus surat kepada Bank Negara Malaysia bersama dengan maklumat akaun anak-anak syarikat 1MDB yang disimpan dalam bank BSI.

“Nampaknya, dengan jejak Jho Low sepanjang kontroversi 1MDB, di samping hutang RM 42 bilion dan kehilangan berjuta-juta dolar, saya sangat berharap Khalid sekurang-kurangnya jemput Jho low untuk berbincang jika tidak mahu keluarkan waran tangkap.

“Namun, jika melihat wawancara Jho Low di media setakat ini, tidak ada apa-apa tindakan dari pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat taikun muda itu,”ujar Tony lagi. – Roketkini.com