Rencana

Perlembagaan Persekutuan dan Karpal Singh, idealisme perjuangan rakyat Malaysia

Tahun lalu tanggal 17 April mencatat tragedi hitam, perginya seorang tokoh politik Malaysia buat selama-lamanya. Rakyat Malaysia kehilangan seorang pahlawan demokrasi dan DAP pula kehilangan seorang pemimpin yang sangat berwibawa – Karpal Singh.

Bagi saya, bulan April ini bukan sekadar ulang tahun pertama pemergian Karpal Singh, ttetapi juga kehilangan disaat Malaysia berhadapan dengan krisis kehakiman. Semangat Karpal yang teguh berpegang pada perlembagaan dan tidak akan berkompromi terhadapnya merupakan sesuatu yang sukar dilalui negara.

Hampir seluruh hidup Karpal didedikasikan kepada politik dan bersungguh-sungguh berjuang demi membina sebuah masyarakat Malaysia yang adil dan demokratik di negara yang tercinta. Amat mengecewakan, beliau telah pergi selama-lamanya akibat sebuah kemalangan jalanraya. Usianya ketika itu ialah 73 tahun.

Karpal Singh memberi komitmen terhadap perjuangan hak asasi, kebebasan dan demokrasi. Ramai yang mendapat keadilan melalui perjuangannya dan beliau tidak pula meminta bayaran untuk itu.

Beliau juga bertegas dan konsisten membantah hukuman mati. Tetapi, sebelum semua gagasan pemikirannya menjadi realiti, beliau meninggalkan kita selama-lamanya.

Lelaki dengan jolokan ‘harimau’ ini dikenali dengan kata-kata “Jangan main-main” terutamanya dalam perkara melibatkan Perlembagaan Persekutuan. Karpal sering memberi peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak mempermainkan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tonggak negara.

Dalam menghadapi eksploitasi isu ‘negara Islam’ oleh sesetengah pihak yang berkepentingan politik, Karpal tidak goyah memberi amaran keras dan ini membuktikan betapa beliau menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang menjadi payung kita bersama selama ini melebihi pemimpin-pemimpin UMNO yang mendakwa kononnya mereka patriotik.

Semangat perlembagaan pacu toleransi masyarakat

Apa yang menyedihkan, Malaysia terus dihujani pelbagai ancaman fanatisme pihak-pihak tertentu yang boleh mengheret rakyat ke kancah kebencian jika tidak dibendung segera. Isu penurunan salib dan penghinaan sesetengah individu terhadap agama seperti mempermainkan azan merupakan manifestasi kegagalan BN mendidik rakyat untuk saling memahami dan bertoleransi.

Apa yang membanggakan, rakyat Malaysia umumnya semakin berhati-hati terhadap sebarang bentuk provokasi melampau ini. Disinilah semangat perlembagaan perlu dihayati dan menjadi pegangan kita. Lebih-lebih lagi, Sabah dan Sarawak memiliki demografi masyarakat yang sangat unik, malah hidup dalam rukun dan damai.

Karpal Singh menjuarai dan mengangkat martabat semangat Perlembagaan Persekutuan yang sangat berharga bagi rakyat Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak merupakan rakan seangkatan yang menikmati status yang sama dengan semenanjung Malaysia.

Sama ada dalam Perkara 18 dan 19 perjanjian Malaysia 1963, atau pada Batu Sumpah Sabah, ia jelas menunjukkan Sabah dan Sarawak mempunyai kedaulatannya tersendiri dan tidak mengangkat mana-mana agama sebagai agama rasmi. Semua masyarakat di sini menikmati kebebasan beragama.

Tanpa ragu, pemimpin terdahulu menandatangani perjanjian Sabah dan Sarawak membentuk persekutuan dengan Malaya sebagai sebuah negara sekular dan berdaulat.

Apa yang mengecewakan kita ialah sesetengah kelompok yang berusaha untuk melaksanakan undang-undang Jenayah Syariah di Kelantan. Tambah memburukkan keadaan, salah sebuah parti yang mengusulkan perlaksanaan undang-undang ini ialah parti komponen Pakatan Rakyat.

Dikala wakil-wakil Dewan Undangan Negeri Kelantan memberi sokongan terhadap pelaksanaan kanun jenayah syariah itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus membisu dan berlengah menjelaskan pendirian partinya. PAS dan UMNO telah bekerjasama dalam usaha ini yang memberi kesan buruk terhadap Pakatan Rakyat dan sokongan terhadapnya.

DAP memutuskan untuk menghentikan semua kerjasama dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang. DAP Sarawak pula memutuskan hubungannya dengan Pakatan Rakyat manakala DAP Sabah pula memutuskan hubungannya dengan PAS Sabah.

Saya ingin nyatakan bahawa DAP Sabah akan terus bersama menjunjung perjuangan Karpal Singh mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan bertegas tidak akan membenarkan mana-mana pihak mempunyai niat jahat mengganggu gugat asas negara yang telah ditetapkan.

Malaysia tidak membenarkan dan tidak boleh melaksanakan hukum jenayah syariah dan harus kekal sebagai sebuah negara sekular. Dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa penghakiman bagi kesalahan jenayah adalah dibawah bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan.Tidak ada mana-mana undang-undang negeri yang boleh melangkaui kuasa Perlembagaan Persekutuan.

DAP Sabah sangat menghargai segala pengorbanan dan sumbangan Karpal Singh dan akan terus menjunjung idealisme perjuangan beliau.

Dalam keadaan negara yang terus dilumuri isu perkauman dan toleransi yang semakin menghilang dibawah pentadbiran BN, sebagai rakyat Sabah dan rakyat Malaysia, marilah sama-sama kita hayati perjuangan beliau.

Jimmy Wong Sze Phin adalah Ahli Parlimen Kota Kinabalu