Berita

Bantah konsert Thirst 2015, ADUN PAS perlu maklumkan MP Serdang dahulu

SERDANG, 28 APR: Tindakan melulu Adun PAS Seri Serdang Noor Hanim Ismail membantah konsert antarabangsa “Thirst: We are Stardust” dikira tidak bertanggungjawab.

Ini kerana Hanim tidak memaklumkan bantahan itu kepada wakil rakyat kawasan, iaitu Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming dan Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Salinan surat bantahan yang dikeluarkan ADUN Seri Serdang tersebut sekadar diberikan kepada Menteri Besar Selangor, serta salah seorang Exco PAS Dr Ahmad Yunus Hairi.

Menurut Dr Ong, maklumat bantahan Hanim juga tidak tepat apabila mendakwa enam orang Melayu terkorban, seperti konsert di Bukit Jalil tahun lalu akibat penyalahgunaan dadah, selain dakwaan bahawa penganjurnya disenarai hitam Majlis Perbandaran Subang Jaya.

“Saya memahami kebimbangan YB Hanim tentang salah guna dadah di acara ini, tapi cara yang lebih sesuai ialah mengetatkan syarat dan menambah baik garis panduan keselamatan, bukannya menyekat acara ini dari berlangsung.

“Insiden samseng di pertandingan bola sepak juga berlaku, tetapi tidak ada sesiapa pun menyeru semua pertandingan bola dilarang,” ujar Kian Ming.

Berikutan bantahan Hanim terhadap acara yang disifatkannya sebagai ‘disco mega/raksaksa’, polis menarik balik sokongan terhadap acara tersebut serta mengarahkan MPSJ menarik balik permit pada saat-saat akhir.

“Ada kemungkinan pihak penganjur akan mengambil tindakan mahkamah terhadap
pihak MPSJ atas keputusannya menarik balik permit hiburan pada saat akhir.

“Jikalau MPSJ perlu membayar pampasan akibat daripada tindakan mahkamah, ini akan
membazirkan dana yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan penduduk di kawasan MPSJ,” tambah Dr Ong.

Kian Ming sebelum ini berkata, pihak penganjur dan penaja telah membelanjakan jutaan ringgit mempromosikan acara itu, malah mendapatkan sokongan daripada Agensi Anti Dadah dan Bahagian Narkotik untuk bertugas pada malam acara tersebut.

“Ia sangat mengecewakan bagi pemegang tiket, pihak penganjur, penghibur dan semua pihak berkepentingan lain apabila acara ini terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

“Ia menjejaskan reputasi Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara peringkat antarabangsa,” kata Kian Ming. – Roketkini.com