Berita

‘Impian Pulau Pinang’ gagasan negeri maju menjelang 2020

GEORGE TOWN, 28 APR – Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang komited ke arah kesejahteraan rakyat negeri tersebut demi merealisasikan impian menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini turut melancarkan gagasan ‘Impian Pulau Pinang’ dengan hasrat menjadikan negeri ini peneraju dalam usaha pembangunan menyeluruh berteraskan rakyat.

“Kejayaan ekonomi dan sosio-politik Pulau Pinang adalah hasil daripada usaha kolektif semua rakyatnya.

“Sementara Pulau Pinang menuju matlamat negeri maju dan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, semua kejayaan ini tidak bermakna sekiranya tidak dimiliki bersama,” kata Guan Eng dalam ucapan sempena istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang hari ini.

“Kita semua harus mengimpikan impian yang sama – Impian Pulau Pinang,” ujar beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

Menurutnya, gagasan ‘Impian Pulau Pinang’ berjiwa rakyat, berteraskan undang-undang, serta bertumpu kepada tiga golongan utama iaitu individu, masyarakat dan institusi.

Menurutnya lagi Impian Pulau Pinang komited mencapai perpaduan kebangsaan berdasarkan prinsip-prinsip bersama iaitu keadilan, demokrasi, kebebasan, nilai moral sejagat, kepimpinan berintegriti dan martabat manusia.

Ujarnya, usaha ke arah pertumbuhan ekonomi di mana sumber dikongsi bersama dan tidak dimonopoli kroni, keharmonian sosial, meraikan kepelbagaian dan pertumbuhan inklusif adalah tonggak penting masyarakat yang penuh ehsan.

Bukan sahaja itu, Guan Eng turut menyatakan hasrat bahawa pembangunan lestari untuk memastikan persekitaran bersih, hijau, selamat dan sihat sepertimana tema manifesto Pakatan Rakyat negeri pada pilihanraya umum ke-13.

“Mekanisme Impian Pulau Pinang hanya boleh diperkuat dan diperkukuhkan oleh institusi yang berteraskan undang-undang.

“Sebagai contoh Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, selain mendukung kedaulatan Parlimen, institusi Raja-raja dan Islam sebagai agama Persekutuan,” jelas Guan Eng mempertahankan lima komitmen tersebut.

Guan Eng turut mengikrarkan ketaatan tidak berbelah kepada Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Negeri dan Perlembagaan Negeri, serta menegaskan komitmen kerajaan negeri bekerja keras bagi merealisasikan Impian Pulau Pinang. – Roketkini.com