Rencana

Pengundi Johor takkan sokong Pakatan jika PAS ingkar dasar bersama

Pengundi Pakatan Rakyat di lima kawasan DUN Johor mempunyai satu mesej yang sama – mereka tidak akan menyokong Pakatan Rakyat dalam PRU ke-14 sekiranya PAS mengingkari Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan bertindak secara unilateral untuk melaksanakan hudud

Sepanjang tiga hari lalu saya telah melawat lima kawasan DUN di Johor – Skudai, Nusajaya, Pengkalan Rinting, Johor Jaya dan Stulang – dan saya telah mendapat satu mesej yang sama daripada pengundi yang telah mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU ke-13 pada bulan Mei 2013: mereka tidak akan menyokong Pakatan Rakyat dalam PRU ke-14 sekiranya PAS mengingkari Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan bertindak secara unilateral untuk melaksanakan hudud.

Salah satu daripada kejayaan terbesar dalam PRU ke-13 adalah apabila Johor tidak lagi menjadi negeri deposit tetap Barisan Nasional, apabila Pakatan Rakyat memenangi lima kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN – yang tidak langsung dijangka oleh BN mahupun PR sebelum PRU 5 Mei 2013.

Malah sebenarnya Pakatan Rakyat telah memenangi 45.8% daripada jumlah undi di Johor pada PRU ke-13, dan sekiranya persempadanan semula kawasan pilihanraya dijalankan secara adil dan demokratik, Pakatan Rakyat barangkali telah menafikan majoriti dua-pertiga Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri Johor dengan sekurang-kurangnya 25 dan bukan hanya 18 kerusi DUN.

Seandainya Pakatan Rakyat mahu mempunyai sebarang peluang untuk menawan Putrajaya pada PRU ke-14, kita haruslah berusaha untuk membuka lapangan baru. Kita tidak boleh berpuas hati dengan sekadar mengekalkan kerusi sedia ada. Kita tidak boleh kekal di tapak sokongan tradisional. Inilah sebabnya kenapa DAP telah melancarkan program Impian Malaysia, Impian Sarawak dan Impian Sabah untuk meluaskan jangkauannya kepada pengundi di luar bandar.

Sementara ramai yang telah sangsi dengan keberkesanan program-program ini untuk membolehkan DAP memenangi lebih banyak sokongan dan kerusi dalam pilihanraya akan datang, bermula dengan pilihanraya negeri Sarawak yang bakal menjelang, kita mesti berfikir dalam kerangka kemustahilan.

Lagipun, tiada siapa yang pernah terfikir bahawa pihak oposisi boleh menawan negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah dan Selangor sebelum PRU tahun 2008. Tiada siapa juga yang menjangka bahawa Pakatan boleh menang di 5 kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN di kubu kuat BN di Johor sebelum PRU tahun 2013.

Jika sesiapa di Johor ada berkata bahawa DAP boleh menang 4 kerusi Parlimen dan 13 kerusi DUN sebelum 2008, mereka pastinya dilihat gila. Tetapi beginilah kita sekarang, dengan 4 Ahli Parlimen dan 13 Adun di negeri Johor.

Namun DAP tidak dapat melakukan ini sendirian. DAP tidak boleh menawan Putrajaya dengan sendirinya. Kami memerlukan rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk mempunyai impian yang sama seperti kami, iaitu untuk membuka lapangan baru. Di Johor, PAS lah yang paling beruntung apabila benteng-benteng ini dipecahkan.

PAS bertanding dengan bilangan kerusi paling banyak di Johor di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat. Ia bertanding di 8 daripada 26 kerusi Parlimen dan 31 daripada 56 kerusi DUN. Ia menang di empat DUN – N13 Sungai Abong, N15 Maharani, N21 Parit Yaani dan N41 Puteri Wangsa – angka yang begitu bersejarah untuk PAS di Johor.

Meski ia tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen, kemenangan begitu hampir sekali. PAS menang lebih 40% undi popular di tiga kerusi Parlimen – P148 Ayer Hitam, P151 Simpang Renggam dan P161 Pulai.

Di kerusi Parlimen Pulai, Naib Presiden PAS menang 48% undi popular dan hanya ketinggalan 3,226 undi sahaja daripada menewaskan penyandangnya Nur Jazlan, anak kepada bekas Menteri Penerangan, Mohamed Rahmat yang disangka tidak boleh ditewaskan.

PAS menang lebih daripada 40% undi popular di 14 kerusi DUN (selain daripada 4 yang ia menangi). Kerusi-kerusi tersebut adalah – N3 Pemanis, N5 Tenang, N8 Jorak, N9 Gambir, N11 Serom, N16 Sungai Balang, N24 Senggarang, N29 Mahkota, N40 Tiram, N43 Permas, N47 Kempas, N49 Nusa Jaya, N50 Bukit Permai dan N54 Pulai Sebatang.

Jika PAS boleh menang di separuh sahaja daripada 14 kerusi ini, Pakatan boleh mengimpikan untuk menawan Kerajaan Negeri Johor pada PRU akan datang.

Pun begitu, impian ini hampir kian pudar. Pakatan tidak boleh lagi mengimpikan untuk mendapat lebih kerusi di Johor, apatah lagi memenangi kerajaan negeri, sekiranya kita berterusan dengan cara sekarang, dengan PAS mengingkari Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan bertindak secara unilateral meneruskan pelaksanaan hudud di negara ini.

Pengundi bukan-Melayu di Johor sudah pun rasa dikhianati oleh ketegasan Presiden PAS untuk meneruskan agenda hudud, termasuk mengemukakan rang undang-undang persendiriannya bagi membolehkan pelaksanaan hudud. Ternyata, dengan meneruskan agenda ini, Hadi membahayakan empat kerusi DUN yang telah dimenangi PAS, yang kesemuanya mempunyai sekitar 40% undi bukan-Melayu.

Ada banyak lagi isu yang lebih mendesak di negara ini dan juga di negeri Johor yang memerlukan perhatian segera berbanding hudud.

Peluang untuk meneroka lapangan baru masih ada, dengan syarat ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat memperkukuhkan komitmen mereka terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan tidak memungkiri janji, seperti meneruskan agenda hudud secara unilateral.

Seandainya PAS tidak bersedia memperkukuhkan semula komitmennya terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta bertindak secara unilateral dalam meneruskan agenda pelaksanaan hudud yang bukan sahaja bertentangan dengan Dasar Bersama malah bertentangan dengan prinsip konsensus dalam proses membuat keputusan Pakatan Rakyat.

Tidak ada cara untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan awam terhadap Pakatan, apatah lagi menambah sokongan popular berbanding PRU ke-13 demi membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan kerajaan negeri Johor. – Roketkini.com