Berita

Tangan-tangan suri rumahlah yang membina negara ini – Steven Sim

PERMATANG PAUH, 28 APRIL: DAP menyelar tindakan cela Umno dan Barisan Nasional yang menggunakan sindiran cauvinis berbentuk kebencian terhadap wanita di dalam kempennya di Pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

Suara-suara pimpinan Umno kedengaran menggelar calon Pakatan Rakyat Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai “calon kitar semula”,”nenek yang patutnya jaga cucu”, malah yang terbaru dari Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sendiri Datin Paduka Chew Mei Fun yang mengatakan Wan Azizah menggunakan perwatakan suri rumahnya.

Pengarah pilihanraya DAP untuk PRK Permatang Pauh Steven Sim menyifatkan fenomena kempen cela seperti itu menunjukkan betapa sifat cauvinis telah sebati dalam kalangan pimpinan Umno/BN.

“Serangan-serangan terhadap Wan Azizah ini jelas mendedahkan betapa UMNO dan BN sangat cauvinis dan mempunyai pandangan kebencian terhadap sifat peribadi wanita.

“Najib sudah 10 kali jadi Ahli Parlimen Pekan, Anwar Ibrahim juga sudah jadi Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982. Kenapa tidak ada orang yang mengatakan lelaki-lelaki ini sebagai ‘calon kitar semula? Kenapa Wan Azizah dikeji sedemikian rupa? Adakah hanya kerana dia seorang wanita?” soal Steven.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu lagi 63 tahun dulu Umno tidak bersikap cauvinis seperti sekarang.

“Pada 1951 di pilihanraya Kerajaan Tempatan George Town ada dua calon wanita. Satunya dari UMNO, Che Wanchik Binti Abidin yang meletakkan kerjanya sebagai ‘suri rumah’.

“Waktu itu tidak apa yang hendak dimalukan menjadi suri rumah di dalam UMNO. Hari ini sebaliknya.

“Tidak ada apa yang memalukan bila menjadi suri rumah, lebih-lebih lagi Wan Azizah adalah graduan Royal College of Surgeon yang mendapat pingat emas dalam perubatan, bahkan beliau adalah Presiden PKR di samping seorang ADUN yang dipilih rakyat.

“Tangan-tangan suri rumahlah yang membina negara ini sama seperti ketua-ketua eksekutif dan pengarah-pengarah. UMNO dan Barisan tak ada hak pandang rendah terhadap suri rumah,” tegas Steven. – Roketkini.com