Berita

Halang himpunan 1 Mei di Sabah cabul semangat perlembagaan

KOTA KINABALU, 29 APR: Tindakan polis Sabah mengeluarkan perintah larangan himpunan 1 Mei di Kota Kinabalu merupakan pencabulan terang-terangan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berhimpun secara aman.

1-mei-sabahPengerusi DAP Sabah Jimmy Wong Sze Phin berkata halangan tersebut tidak munasabah, kerana menurut Akta Perhimpunan Aman 2012, permit polis tidak diperlukan untuk menganjurkan perhimpunan aman, tetapi dengan hanya memberikan notis 10 hari.

“DAP Sabah memandang serius dan berasa kesal terhadap tindakan pihak berkuasa yang membelakangi semangat demokrasi menghalang penganjur dan orang ramai untuk meraikan himpunan Hari Pekerja.

“Tiada sebab kukuh himpunan aman MayDay ini dihalang,” kata Jimmy dalam kenyataannya hari ini.

Polis Kota Kinabalu pada 27 April mendapat Perintah Larangan Berhimpun daripada mahkamah bagi melarang ‘Himpunan May Day’ anjuran Bersih Sabah bersama 35 badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Hari Buruh, 1 Mei ini.

Himpunan 1 Mei Sabah dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu diantara jam 3 hingga 5 petang.

Tambah Jimmy, lebih mengejutkan apabila beliau tersenarai bersama 16 individu yang dihalang berada di lima lokasi sekitar Kota Kinabalu.

“Sebagai MP Kota Kinabalu, adalah sangat ironi saya tidak boleh berada di kawasan-kawasan tertentu yang saya wakili.

“Adakah kita sudah tidak boleh bersuara, menunjukkan solidariti dan meraikan 1 Mei bersama-sama?

“Dengan pelbagai isu seperti kenaikan kos hidup rakyat akibat GST, 1MDB, hutang negara yang bertambah, penurunan nilai ringgit yang membebankan rakyat, dimana kewajaran pihak berkuasa menghalang kita dari bersuara mengikut lunas undang-undang? soal Jimmy..

Stephen WongSementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt (gambar) berkata, halangan polis ke atas himpunan yang hanya berlangsung selama kira-kira dua jam itu tidak masuk akal sama sekali.

“Polis perlu berhenti mengganggu orang ramai untuk mengamalkan haknya seperti yang terkandung dalam perlembagaan.

‘Polis tidak patut menghalang, malah seharusnya memainkan peranan mengawal dan membantu orang ramai dalam himpunan itu,” ujar Stephen. – Roketkini.com