Berita

‘Kerajaan telus’ Najib jadikan Malaysia jenaka antarabangsa

PETALING JAYA, 29 APR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya menjadikan Malaysia bahan jenaka antarabangsa apabila menyatakan bahawa beliau mentadbir negara ini secara telus.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, Najib ‘tak tahu malu’ berkata demikian, sedangkan skandal dan penipuan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kemewahan hidup ‘keluarga pertama’ itu telah diketahui umum.

“Kenyataan Perdana Menteri ini, membuatkan kita ketawa,” kata Tony dalam satu kenyataan.

Najib ketika membentangkan Laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2014 semalam berkata, sebagai sebuah kerajaan yang telus, beliau dan Timbalan Perdana Menteri bersama kabinet tidak akan sesekali berganjak atau menyerah kalah.

“Malah, akan tetap beristiqamah dan berjuang merintis sejuta lagi jalan baru demi kebaktian kepada rakyat dan negara,” kenyataan Najib dipetik.

Justeru itu kata Tony, sekiranya Najib berpegang kepada prinsip tersebut, beliau perlu mengotakan kata-katanya dan menjawab segala pendedahan akhbar The New York Times (NYT) dan Sarawak Report berhubung gaya hidup mewah keluarganya dan skandal 1MDB.

NYT dalam artikel bertarikh 8 Februari 2015 melaporkan, Najib yang hanya memperoleh gaji tahunan kira-kira USD100,000 dikaitkan dengan berita perbelanjaan mewah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

NYT mengeluarkan siri gambar menunjukkan Rosmah membawa sekurang-kurangnya sembilan beg tangan, dianggarkan setiap satu berharga diantara USD9,000 dan USD150,000.

Selain itu, NYT mendedahkan salinan invois dan dokumen menunjukkan tempahan barang kemas termasuk berlian, cincin zamrud dan gelang delima berharga jutaan dolar di Hong Kong pada 2008 dan 2009.

Turut didedahkan, transaksi rahsia pembelian secara tunai apartmen mewah di Park Laurel, New York dan sebuah rumah di Beverly Hills oleh Riza Aziz, anak tiri Najib, masing-masing bernilai USD 33.5 juta dan USD17.5 juta.

Manakala Sarawak Report mendedahkan pelbagai bukti berhubung penyelewengan 1MDB seperti pembongkaran perbualan emel oleh jutawan Jho Low dengan PetroSaudi International yang turut membabitkan nama Najib.

Dalam perkembangan terakhir, 1MDB didakwa memberikan penyata bank palsu berkaitan akaun anak syarikatnya kepada cawangan Bank BSI di Singapura,da November 2014?.

Ujar Tony, percubaan Najib untuk menutup skandal 1MDB dengan alasan ‘tidak mengulas spekulasi dan khabar angin pasaran’ tidak membuktikan ikrar ‘kerajaan telus’ oleh Najib.

“Namun, ada perkara yang rakyat Malaysia boleh bantu bagi mengabaikan segala kritikan, iaitu dengan meletakkan jawatan,” ujar Tony. – Roketkini.com