Berita

Pinda Akta Cukai Pendapatan 1967, kecualikan sumbangan aktiviti keagamaan dari cukai

IPOH, 29 APR: Putrajaya diminta meminda Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi mengecualikan semua sumbangan aktiviti keagaaman daripada dikenakan cukai.

Biro ekonomi DAP Perak Chong Zhemin berkata, melalui pengecualian cukai tersebut, rakyat Malaysia akan digalakkan untuk memberi lebih sumbangan kepada aktiviti-aktiviti keagaaman.

Beliau merujuk kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad pada 16 April lalu yang mencadangkan kerajaan mengecualikan umat Islam daripada membayar GST, kerana cukai tersebut membebankan rakyat.

Menurut Zhemin, rebat cukai akan mengurangkan cukai yang perlu dibayar, manakala pelepasan cukai hanya mengurangkan pendapatan yang boleh dikenakan cukai yang mana ia perlu didarab dengan kadar cukai semasa.

Beliau memberi contoh pengiraan cukai pendapatan orang Islam dan bukan Islam yang kedua-duanya berpendapatan RM50,000 dan menderma RM1,000 kepada pertubuhan agama masing-masing, secara ceteris paribus membayar jumlah yang berbeza.

“Oleh kerana zakat dianggap boleh direbat cukai, orang Islam yang membayar zakat boleh mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.

“Pada pendapatan bercukai RM50,000, cukai yang perlu dibayar adalah RM2,850, dan RM1,000 selepas rebat cukai, maka cukai bersih yang perlu dibayar adalah RM1,850.

“Manakala orang bukan Islam yang menderma hanya boleh menuntut pelepasan cukai yang akan mengurangkan pendapatan yang boleh dikenakan cukai.

“Pada pendapatan bercukai RM49,000, orang bukan Islam perlu membayar cukai berjumlah RM2,740.

“Putrajaya harus membenarkan semua sumbangan keagamaan sebagai rebat cukai, bagi berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

DAP sebelum ini mendedahkan, aktiviti kebajikan seperti memberi sumbangan barangan dan majlis makan malam bagi kutipan dana juga turut dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Sumbangan barangan yang tidak melebihi RM500 tidak dikenakan GST, manakala majlis makan malam untuk kutipan derma NGO dihadkan hanya empat kali setahun bagi sifar GST. – Roketkini.com