Berita

Ahmad Maslan tak faham ekonomi, wajar digugur dari kementerian – Chin Tong

KLUANG, 30 APR: Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong hari ini menggesa Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan digugurkan dari jawatan kabinet kerana tidak memahami ekonomi.

Chin Tong berkata, menteri itu kurang cerdik apabila mengatakan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan menurunkan kadar cukai, antaranya cukai pendapatan dan cukai korporat.

“Ini hujah klasik Ahmad Maslan, memang ada pemotongan cukai marjinal dan cukai korporat.

“Hakikatnya majoriti rakyat Malaysia adalah penerima BRIM berjumlah 7.9 juta orang hanya pada 2014 sahaja, dan GST terpakai ke atas mereka,” jelas Chin Tong.

Ahli Parlimen Kluang itu turut menyelar Ahmad Maslan yang dilihat hanya pandai bercakap dan mengeluarkan kenyataan mengenai GST, tanpa memberikan hujah bahawa GST adalah cukai progresif.

Sebaliknya kata Chin Tong, GST memberi kesan kepada kehidupan golongan miskin kerana berpendapatan kecil, membuktikan GST adalah cukai regresif.

“Tujuan utama pelaksanaan GST di Malaysia supaya kerajaan boleh menaikkan pendapatan bagi mengurangkan defisit yang dihadapi kerajaan.

“Cabaran terbesar yang dihadapi GST kepada ekonomi Malaysia bukan inflasi, tetapi ketumpulan penggunaan domestik yang merupakan tonggak penting dalam ekonomi negara.

“Apabila pendapatan rakyat Malaysia dihabiskan kepada GST dan inflasi dan hutang isi rumah tinggi, ertinya ruang pergerakan keluarga terhad.

“Jika setiap isi rumah tidak lagi berbelanja, ekonomi akan terhenti,” jelas Chin Tong.

Justeru itu, nasihat ekonomi Ahmad Maslan tidak boleh dipakai kerana tidak berguna dan tidak menyelesaikan masalah, bahkan keadaan menjadi lebih parah apabila peniaga sendiri mula berhenti memberikan perkhidmatan.

“Kita tak perlukan menteri propaganda dalam Kementerian Kewangan.

“Kita perlukan pemimpin waras dengan pemahaman holistik untuk memacu pertumbuhan, sewaktu ekonomi negara tidak stabil,” kata Chin Tong. – Roketkini.com