Berita

Skandal 1MDB: DAP gesa polis beku harta Jho Low

PETALING JAYA, 30 APR: Semua harta antarabangsa dimiliki taikun muda Jho Low perlu dibekukan bagi memberi laluan kepada siasatan skandal dana syarikat 1MDB.

Demikian gesaan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua yang turut mempersoalkan kelewatan Ketua Polis Negara Tan Seri Khalid Abu Bakar bertindak terhadap individu yang terlibat dalam skandal USD 700 juta 1MDB itu.

“Segala bukti konkrit telah ditunjukkan, tetapi polis langsung tak bertindak ke atas Jho Low.

“Khalid Abu Bakar pula terus berdiam diri dalam siasatan rompakan terbesar di abad ini,” ujar Tony.

Media antarabangsa sebelum ini mendedahkan sekurang-kurangnya enam aset hartanah antarabangsa dimiliki Jho Low termasuk dua buah rumah bernilai RM 135 juta di Singapura.

Jho Low didakwa memiliki sebuah kondominium dan banglo di Amerika Syarikat bernilai USD73 juta di samping ‘menghadiahkan’ sebuah banglo di Beverly Hills bernilai USD 17.5 juta dan kondominium di New York bernilai USD 33.5 juta.kepada anak tiri Datuk Seri Najib Razak

“Sudah berbulan rompakan ini didedahkan dengan bukti-bukti teliti. Tetapi Ketua Polis Negara lebih efisien menyiasat perkara yang samar-samar seperti ‘royal my foot’, kata Tony.

“Kami gesa untuk bukan saja tangkap Jho Low, KPN mesti mulakan kerjasama dengan polis di peringkat antarabangsa bagi beku semua aset Jho Low dan akaunnya.

“Ini bagi memastikan tidak ada lagi wang dapat digelapkan dari 1MDB,” ujar Tony lagi. – Roketkini.com