Berita

15,000 sertai himpunan #BatalGST, lautan merah penuhi KL

jalan-sultanKUALA LUMPUR, 1 MEI: Kira-kira 15,000 peserta menyertai himpunan #BatalGST sempena sambutan Hari Pekerja di ibu kota hari ini.

Perhimpunan bermula pada jam 2.30 petang dari empat lokasi iaitu Masjid Negara. Masjid Jamek, Dataran Maybank dan Sogo berarak menuju Dataran Merdeka.

Dari Dataran Merdeka, peserta himpunan yang terdiri dari pelbagai kaum dan peringkat umur menuju ke KLCC melalui beberapa jalan utama termasuk Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail.

masjid-jamekKumpulan besar peserta himpunan itu kemudiannya berhimpun di hadapan KLCC, di simpang empat Jalan Ampang dan Jalan Yap Kwan Seng.

Pimpinan DAP dan penyokong yang berkumpul di Jalan Sultan mulai jam 1 tengah hari berpakaian serba merah, warna tema himpunan #BatalGST yang juga warna rasmi parti.

Mereka membawa pelbagai kain pemidang, plakad dengan pelbagai slogan antaranya ‘Hancur GST” dan para peserta bergerak menuju ke Dataran Merdeka untuk bergabung bersama kumpulan dari Puduraya, Masjid Jamek dan Masjid Negara.

Meskipun cuaca panas terik, namun peserta himpunan tetap bersemangat berjalan beramai-ramai sambil melaungkan slogan-slogan membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

dataran-maybankSetiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke yang memimpin pergerakan dari Jalan Sultan menasihati orang ramai untuk beratur dalam barisan dan berjalan di belakang dua buah kenderaan yang mengetuai perarakan dan mula bergerak ke arah Masjid Jamek.

Di Masjid Jamek, peserta himpunan yang kebanyakannya telah menyelesaikan solat Jumaat memenuhi bahu kiri dan kanan Jalan Tun Perak.

Suasana menjadi lebih gamat apabila pemandu kenderaan yang melalui Jalan Tun Perak turut membunyikan hon sebagai tanda menyokong himpunan #BatalGST.

jalan-tun-perakKira-kira pada jam 2.50 petang, peserta himpunan dari Masjid Negara yang dipimpin Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menghampiri Dataran DBKL sambil melaungkan slogan ‘Kita Semua Tok Janggut’ bagi mengenang perjuangan menentang cukai yang diperkenalkan penjajah British seratus tahun lalu.

Di laluan masuk ke Dataran Merdeka, kira-kira 300  anggota polis membuat hadangan berserta benteng besi bagi menghalang peserta himpunan #BatalGST memasuki padang sejarah tersebut.

dataran-merdekaTidak kecewa dihalang, peserta himpunan yang telah melimpah kemudiannya bergerak menuju ke KLCC melalui Jalan Raja Laut bersama laungan slogan-slogan mengecam pelaksanan cukai GST dan pembaziran yang dilakukan kerajaan.

Perarakan besar tersebut yang disertai pelbagai NGO turut dimeriahkan dengan bendera simbol perjuangan kumpulan masng-masing, selain bendera negeri-negeri dari seluruh Malaysia.

jalan-raja-lautSementara itu, kumpulan #KitaLawan yang berhimpun di pusat membeli belah Sogo mengekori perarakan besar di hadapan mereka bersama nyanyian lagu-lagu bertemakan perjuangan dari kumpulan anak muda bergelar The Bangsart.

Antara lagu yang dimainkan ialah ‘Rasa marah GST’, ‘GST bangsat’ ‘Ale-ale’ dan ‘Terima kasih’ diiringi paluan gendang bagi menghiburkan peserta himpunan.

klcc-batal-gstRata-rata pemandu kenderaan di sekitar jalan di ibu kota turut memberikan kerjasama dengan memberikan laluan kepada perarakan peserta, selain menunjukkan ibu jari tanda ‘bagus’ dan menyokong himpunan #BatalGST.

Kira-kira pada jam 4.30 petang, kesemua peserta himpunan dari keempat-empat lokasi telah tiba di KLCC, dan jjalan di persimpangan KLCC dipenuhi peserta himpunan yang dianggarkan lebih 15,000 orang.

Di Jalan Ampang berdepan KLCC, peserta himpunan duduk di atas jalan raya bagi mendengar ucapan pimpinan.

klcc-batal-gst2Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dalam ucapannya menegaskan, kehadiran ribuan rakyat di himpunan #BatalGST hari ini adalah mesej jelas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN bahawa rakyat tidak menerima cukai penggunaan itu.

Turut sama menyampaikan ucapan adalah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Himpunan #BatalGST tamat kira-kira pada jam 5 petang selepas bacaan deklarasi anti-GST oleh Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang mahukan cukai itu dimansuhkan dan bacaan doa oleh tokoh ulama PAS Ahmad Awang.

doa-batal-gst“Kami berkumpul hari ini dengan semangat jihad, dengan semangat Tok Janggut untuk melawan GST.

“Berikanlah kami kekuatan. Berikan kekuatan untuk melawan GST,” katanya.

Peserta himpunan mula meninggalkan kawasan itu selepas doa selesai dibacakan, manakala anak-anak muda masih kelihatan di persimpangan jalan di hadapan KLCC untuk mendengar muzik.

klccManakala orang ramai turut mengambil kesempatan bergambar sambil bersalaman sesama mereka dan mengucapkan tahniah kerana berjaya ‘menawan KLCC’ dan Kuala Lumpur’.

Di dalam sebaran aplikasi whatsapp, Ketua Pemuda PAS Suhaizan mengucapkan tahniah kepada seluruh peserta himpunan #BatalGST dari seluruh negara yang menjayakan himpunan dan perarakan dalam suasana aman. – Roketkini.com

deklarasi-batal-gstDeklarasi #BatalGST 1 Mei 2015

Bahawa kami, anak semua bangsa yang berkumpul pada 1 Mei 2015, adalah mewakili kesedaran seluruh rakyat Maaysia yang menentang GST.

Justeru, kami yang berhimpun pada petang ini mewakili kesedaran seluruh rakyat Malaysia menuntut Goods Sevices Tax atau GST, dibatalkan serta merta.

100 tahun dahulu pada 29 April 1915, Tok Janggut telah bangun menentang cukai zalim yang telah dikenakan kepada rakyat. Tok Janggut telah dijatuhkan hukuman mati.

Kami, yang berhimpun pada 1 Mei 2015 ini, adalah anak cucu cicit Tok Janggut.

Kami, yang berhimpun pada petang ini menjadi suara rakyat Malaysia.

Kami, yang membawa kesedaran rakyat Malaysia berjanji, bersetiakawan bersama anak semua bangsa akan meneruskan perjuangan Tok Janggut.

Kami, yang berhimpun pada petang ini berjanji dan bersetiakawan akan meneruskan perjuangan menentang GST.

1 Mei 2015, Kuala Lumpur

Album Gambar 1

Album Gambar 2

Album Gambar 3

Album Gambar 4

Album Gambar 5