Berita

53 peserta himpunan #BatalGST ditangkap, Suaram kutuk tindakan polis

KEMASKINI

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk tangkapan pihak polis terhadap perserta himpunan aman #BatalGST di Kuala Lumpur hari ini.

Sehingga jam 10 malam tadi, tidak kurang daripada 53 orang telah ditangkap di sekitar KLCC sewaktu mereka dalam proses bersurai untuk pulang.

Suaram dalam kenyataannya malam tadi mempertikaikan tindakan polis yang menangkap peserta, sedangkan himpunan tersebut sudah ditamatkan secara aman.

“Pihak polis jelas gagal untuk menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kenyataan SUARAM dipetik.

Sehingga kini, polis telah menahan Ahli Parlimen Seremban, Athony Loke dan akan mereman bekas Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevenasan dan Setiausaha Agung Parti Sosialias Malaysia (PSM) S Arutchelvam.

Difahamkan, polis juga menghubungi beberapa individu untuk menyerah diri, antaranya Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, penyelaras Jingga 13 Fariz Musa dan aktivis Bersih 2.0 Mandeep Singh .

Sementara itu, derdasarkan maklumat ke semua 53 yang ditangkap kini dipindahkan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD Dang Wangi).

“Tindakan polis ini mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak prihatin terhadap suara golongan pekerja, memandangkan himpunan 1 Mei ini merupakan acara rutin tahunan yang disambut seluruh masyarakat antarabangsa.

“Oleh itu, Suaram mendesak agar pihak polis segera membebaskan semua yang ditangkap,” tambah kenyataan tersebut.

Tambah Suaram, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 dan menyatakan desakan agar semua yang ditangkap dibebaskan dengan segera.

Orang ramai juga boleh terus menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah di talian 019 – 383 8084 bagi mendesak beliau membebaskan tahanan dengan segera.

“Suaram juga ingin menyeru orang ramai untuk turut sama memberi desakan kepada kepada pihak polis khususnya Ketua Polis Daerah Dang Wangi agar segera membebaskan semua peserta himpunan yang ditangkap,” tegas Suaram. – Roketkini.com