Berita

Himpunan 1 Mei di Sabah berlangsung aman

KOTA KINABALU, 1 MEI: Himpunan ‘May Day Sabah’ hari ini berjaya dilangsungkan dengan jayanya tanpa sebarang insiden tidak diingini meskipun mendapat amaran keras polis Kota Kinabalu.

Peserta himpunan bergerak menuju Padang Merdeka dari pelbagai arah bermula sekitar jam 2.30 petang memenuhi Dataran Terminal Bandaran.

Mereka turut melaungkan pelbagai slogan dan membawa sepanduk menuntut kerajaan menyelesaikan isu-isu kritikal di Sabah.

Antara yang paling mendesak ialah isu berhubung masyarakat pribumi Sabah yang menjadi minoriti akibat kerakusan BN dalam ‘Projek IC’.

Dalam ucapannya, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Jannie Lasimbang berkata, kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah memberi kesan besar terhadap sosio-budaya dan masyarakat di Sabah.

“Orang asal Sabah jadi minoriti di negeri sendiri,” ujar beliau.

Dalam isu berkaitan, Ahli Parlimen Kota Kinabalu ketika jimmy Wong Sze Phin ditemui mendesak kerajaan supaya bertindak tegas tanpa sebarang agenda.

“Kita tak mahu nanti wujud projek IC ke dua,” katanya.

Tambah Jimmy, akibat projek IC, Sabah juga berhadapan denan masalah kanak-kanak tanpa warganegara (stateless kids).

“Orang asing duduk sekejap di Sabah dapat IC (kad pengenalan). Tapi orang tempatan yang berkahwin dengan orang asing, walaupun ada sijil lahir masih ramai tak boleh buat IC,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut ADUN Sri Tanjong Chan Foong Hin, isu ‘IC Palsu’ telah menyebabkan wujudnya isu kemanusiaan.

“Mereka (PATI) digunakan untuk tujuan politik.

“Bila timbul banyak masalah, mereka dan orang tempatan jadi mangsa keadaan,” ujar Chan. – Roketkini.com