Berita

Majoriti rakyat Malaysia terperangkap hutang, jurang pendapatan melebar

KUALA LUMPUR, 1 MEI: 14 juta tenaga buruh di Malaysia telah hilang kepercayaan kepada kerajaan persekutuan kerana mereka kini terperangkap dalam kitaran ganas hutang, kenaikan harga barang, upah tidak adil dan masalah kewangan disebabkan ketidakcekapan, pembaziran dan rasuah.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ketika Datuk Seri Najib Razak berbangga dengan ‘kejayaan’ transformasi ekonomi dan pertumbuhan pada kadar 6%, hakikat sebenar adalah majoriti isi rumah Malaysia masih terperangkap dalam hutang dan jurang pendapatan yang melebar.

“Bagaimana ringgit Malaysia dan pasaran modal kita paling teruk di Asia pada 2014, walaupun pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus?

“Pasaran modal Malaysia menjunam 6% tahun lalu berbanding Thailand yang meningkat 15% meskipun mencatatkan kadar pertumbuhan hanya 1%.

“Manakala matawang kita menurun mendadak, mengakibatkan inflasi import, ditambah pelaksanaan GST yang menyebabkan kenaikan harga,” kata Guan eng dalam satu kenyataan.

Tambahnya, hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi tidak masuk akal apabila data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan 62% pekerja berpendapatan bulanan kurang RM2,000 sebulan.

Manakala Jabatan Statistik melaporkan, purata gaji bulanan rakyat Malaysia adalah pada kadar RM1,700.

“Dengan begitu ramai rakyat Malaysia berpendapatan rendah, hasrat menjadikan rakyat negara ini berpendapatan tinggi tidak lebih dari sekadar ‘wayang’ kerajaan, ujar Guan Eng.

Dalam pada itu, kadar nisbah isi hutang rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK), iaitu 87.9%, bersamaan kira-kira RM940.4 bilion pada akhir 2014.

“Nisbah ini adalah yang tertinggi di Asia, dan bukti bahawa rakyat Malaysia terperangkap dalam kitaran ganas hutang dan upah yang rendah.

“Pelaksanaan GST pula membuatkan rakyat Malaysia terpaksa berhempas-pulas untuk hidup, ketika upah tidak meningkat sejajar produktiviti.

“Akhirnya, bukan sahaja mereka terpaksa meminjam, malah akhirnya berbelanja lebih daripada pendapatan,” kata Guan Eng.

Justeru itu katanya, dasar ekonomi yang dirancang BN tidak menawarkan kemaslahatan hidup, sebaliknya rakyat terus dibebankan untuk ‘membayar’ ketirisan, salah urus dan penyelewengan kerajaan termasuk skandal hutang RM42 bilion 1MDB. – Roketkini.com