Rencana

PRU ke-14, potensi kerajaan berubah di lapan negeri

Fokus PRU ke-14 bukan sahaja terhadap Putrajaya, samada kuasa Persekutuan boleh bertukar tangan, tetapi juga lapan buah negeri, diketuai Johor, samada kuasa dan pentadbiran kerajaan negeri boleh bertukar tangan.

Negeri-negeri ini ialah Johor, Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Perak.

Kerajaan Persekutuan Umno/Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan minoriti yang hanya mempunyai sejumlah 47% daripada jumlah undi seluruh negara.

Berasaskan keputusan PRU ke-13, terdapat lapan negeri di mana parti atau gabungan politik yang membentuk kerajaan negeri telah mendapatkan jumlah undian 55% ke bawah dan berpotensi bertukar kerajaan negeri dalam semua pilihanraya umum.

Negeri-negeri tersebut ialah:

Kelantan: 55%

Pahang 54%

Johor: 54%

Melaka: 53%

Negeri Sembilan: 52%

Terengganu: 51%

Kedah 50%

Perak 45%.

Perak lebih teruk berbanding senario nasional memandangkan kerajaan negeri Umno/BN di Perak hanya mendapat 45% daripada jumlah undi di negeri itu, jauh lebih rendah berbanding undi popular yang dimenangi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini mentadbir dengan hanya 47% undi seluruh negara.

Kesemua lapan negeri di atas (termasuk Kelantan yang berada di bawah pentadbiran PAS) berkemungkinan bertukar kerajaan negeri dalam pilihanraya umum.

Daripada senarai tersebut, yang paling patut diberi perhatian ialah Johor, yang sehingga PRU ke-11 pada tahun 2004 disifatkan sebagai kubu kuat, deposit tetap BN yang tidak dapat ditembusi mahupun terkalahkan, sehinggakan tema kempen BN pada PRU tahun 2008 di negeri itu ialah untuk memastikan Johor menjadi negeri ‘Pembangkang-sifar’.

Sejak itu Johor telah membuat suatu lonjakan luar biasa, apabila bahagian undi BN daripada jumlah undian di negeri tersebut merosot daripada 77.4% pada PRU tahun 2004 menjadi 63% pada PRU 2008 dan 54% pada tahun 2013 – kemerosotan lebih 23% dalam tempoh tiga pilihanraya umum selama sembilan tahun. Ini adalah kerana kejayaan besar oleh Pakatan Rakyat dalam PRU ke-13, memenangi lima kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN di negeri itu.

Kejatuhan sepanjang dua pilihanraya umum ini turut sama terjadi kepada tiga kerajaan negeri BN yang lain, seperti Melaka yang kehilangan 16% daripada 69% pada tahun 2004 menjadi 53% pada tahun 2013, kejatuhan 16% daripada 68% menjadi 52% pada 2013 terjadi di Negeri Sembilan, dan kejatuhan 11% daripada 66% dalam tahun 2004 menjadi 55% pada tahun 2013 di Pahang.

Hasilnya, kelapan-lapan kerajaan negeri ini berpotensi mengalami perubahan pentadbiran kerajaan negeri dalam pilihanraya umum.

Persoalan yang menarik ialah sama ada PAS boleh mengekalkan pegangan kuasa dua dekadnya ke atas kerajaan negeri Kelantan dalam PRU ke-14, dan niat sebenar meneruskan pelaksanaan hudud di Kelantan adalah kepercayaan bahawa ia adalah cara paling berkesan untuk memastikan PAS boleh terus mengekalkan tapak kuasanya di Kelantan.

Terdapat perbezaan pendapat yang kuat, seperti kepercayaan bahawa urustadbir yang baik adalah jawapan paling tepat untuk mengekalkan tapak kuasa PAS di Kelantan, kerana sebarang pelanggaran terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan prinsip konsensus dalam Majlis Pimpinan sepertimana desakan unilateral agenda pelaksanaan hdud bukan sahaja akan membahayakan Kelantan tetapi juga memusnahkan sebarang harapan untuk menawan semula kerajaan negeri Kedah.

Adalah amat signifikan bahawa hanya Kelantan dan Kedah yang merupakan dua negeri di Semenanjung di mana Barisan Nasional menambah jumlah undiannya pada pilihanraya umum yang lalu, iaitu daripada 44% kepada 45% di Kelantan, dan daripada 47.4% kepada 50.4% di Kedah.

Perkembangan beberapa minggu lagi akan memutuskan sama ada usaha-usaha semasa PRU ke-13 bagi membentuk senario politik yang menjadikan lapan negeri, terutamanya Johor menjadi fokus bagi PRU ke-14, samada berlakunya pertukaran kerajaan negeri, akan diperkukuh atau dilemahkan. – Roketkini.com