Rencana

Perhimpunan Batal GST, suatu catatan

Ramai tidak teragak-agak meluahkan rasa kecewa mereka terhadap GST atau sebarang kesan yang dibawa GST, baik melalui media sosial ataupun aplikasi pesanan ringkas. Sejak perlaksanaannya bermula April lalu, rata-rata rakyat Malaysia sudah mendengar luahan demi luahan kekecewaan.

Lebih ironi, membaca rungutan seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional terhadap beban yang terpaksa ditanggungnya dek kerana GST. Walhal beliau sendiri merupakan salah seorang yang mengundi untuk menyokong Rang Undan-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

Ini diikuti dengan satu demi satu kenyataan-kenyataan lucu keluar dari mulut Menteri yang bertanggungjawab. Perlaksanaan GST baru-baru ini memperlihatkan beberapa kes perlaksanaan kelam-kabut seperti isu harga tambah nilai pra-bayar telefon bimbit dan isu janji harga barang akan turun tetapi sebaliknya berlaku.

Seperti biasa semua itu dijawab kembali Pak Menteri dengan menuding kepada semua pihak baik rakyat, peniaga, malahan Pembangkang tetapi tidak sesekali diri mereka. Sehingga menjadi jenaka popular di kalangan orang ramai untuk menggantikan kata adjektif yang menggambarkan kedunguan dengan nama Menteri berkenaan.

Sungguhpun boleh dibaca luahan-luahan negatif terhadap GST di media sosial, tentu sekali tidak memadai tanpa cubaan membawa luahan itu ke tempat-tempat awam.

Sekurang-kurang bagi menghantar pesanan bahawa terdapat kegelisahan, rasa tidak puas hati, dan protes. Paling penting mengingatkan massa bahawa keadaan negara ini tidaklah ‘baik-baik saja’, dengan nama kestabilan seperti mana seringkali pemerintah cuba buat rakyat percaya.

Untuk itu, pujian harus diberikan kepada mereka yang berani menganjurkan perhimpunan membantah GST yang diadakan pada 1 Mei 2015.

Protes berlangsung pada tarikh yang cukup bermakna, justeru 1 Mei sudah lazim menjadi simbol perjuangan kaum pekerja. Sangat kena pilihan tarikh itu kerana sudah tentu mereka merupakan kumpulan paling terkesan dengan GST.

Walaubagaimanapun adalah lebih lengkap sekiranya selain tuntutan memansuhkan GST, turut digemakan dengan lebih kuat tuntutan-tuntutan lain untuk kebaikan kaum pekerja yang tertindas.

Perhimpunan membantah GST turut mengambil bentuk lebih kurang sama dengan perhimpunan #KitaLawan yang sudah kerapkali diadakan. Kumpulan dari pelbagai titik pertemuan berbeza perlu bergabung di Dataran Merdeka dan sambung berarak menuju KLCC. Antara titik pertemuan yang telah dimaklumkan lebih awal adalah Masjid Negara, Masjid Jamek, Jalan Sultan, Sogo dan Pasar Seni.

Protes kali ini juga turut dilihat membuat persiapan rapi dengan merakamkan chant atau sorakan protes dan diedarkan kepada mereka yang mengepalai titik pertemuan.

“GST bangsat…kami datang GST bangsat”

Bagi mereka yang mesra dengan sorakan dari Ultras Malaya tentu amat kenal dengan laungan yang satu ini. Meskipun sorakan protes yang disediakan cukup menarik, di Masjid Negara kelihatan pesertanya agak malu-malu untuk turut serta melaungkannya.

Barangkali majoriti peserta di situ terdiri daripada mereka yang lebih dewasa, tidak biasa dengan cara protes sedemikian. Situasi ini dilihat agak berbeza dengan perhimpunan #KitaLawan sebelum ini yang rata-ratanya adalah anak muda sehingga keseluruhan protes dijadikan ibarat sebuah pesta.

Dijangkakan di titik pertemuan lain perhimpunan bantah GST yang dimonopoli anak muda, situasi jauh lebih meriah dengan sorakan dan nyanyian.

Untuk kumpulan dari Masjid Negara yang kemudiannya bergabung dengan kumpulan lain berdekatan Dataran Merdeka bagi meneruskan perarakan ke KLCC, segalanya berlangsung dengan aman.

Terdapat perkara yang tidak manis apabila melihat sesetengah pemimpin parti politik berarak dikelilingi sekumpulan individu bertindak seperti pengawal peribadi, tidak membenarkan sesiapa pun merapati pemimpin-pemimpin parti tadi meskipun untuk bergambar.

Keadaan ini menyakitkan mata apabila memikirkan mereka inilah yang selalunya melaungkan retorik-retorik bersama rakyat namun apabila berjalan untuk protes bersama rakyat, mereka ada kelas tersendiri. Perlu dikawal rapi seolah-olah sudah jadi menteri gayanya.

Lebih ironi apabila pemimpin-pemimpin dengan ‘pengawal peribadi’ ini melalui Jalan Sultan Ismail yang mana di sebelah kiri jalan dapat dilihat para buruh binaan mengintai-intai dari celah jaring tapak pembinaan.

1 Mei sepatutnya merai dan memperingati golongan seperti mereka, para buruh dan pekerja yang membanting tulang memerah keringat, dengan meletak diri kita semua selaku pekerja pada satu kasta yang sama.

Akan tetapi malang di dalam perhimpunan untuk rakyat, ada ahli politik sedang cuba mewujudkan kasta tersendiri buat diri mereka. Menyedihkan!

Setibanya di KLCC perhimpunan mengambil bentuk kebiasaanya. Kawasan KLCC yang sudah ditutup lebih awal membuatkan para peserta perhimpunan menjadikan Jalan Ampang sebagai titik akhir perjalanan protes.

Di situ seorang demi seorang pemimpin diberi peluang memberikan ucapan. Muzik, nyanyian dan sorakan yang tentu dinanti-nantikan anak muda tiba agak lewat, lebih kurang hampir pada waktu diumumkan perhimpunan berakhir.

Perhimpunan berakhir dengan agak lesu dan dilihat seperti kurangnya penyelarasan antara pihak-pihak yang menganjurkan. Walau bagaimanapun yang penting satu pesanan keras telah dihantarkan kepada seluruh Malaysia terutamanya para kuasawan, bahawa warga negara ini marah dan setiap warga itu tidak takut meluahkan.

Akta Hasutan dan segala macam undang-undang drakonian yang mahu digunakan bagi menggertak rakyat kelihatannya masih belum menampakkan kesan. – Roketkini.com