Berita

Universiti lebih gemar halau hantu, mana usaha bangun sains? – Zairil

BUKIT BENDERA, 2 MEI: “Mana usaha bangunkan sains Islam?”

Demikian soalan ditimbulkan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari merujuk Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang mebuat kajian bagi menghalau hantu.

Menurut Zairil hal itu menyalahi keutamaan ketika institusi pengajian di Malaysia masih bergelut dengan cabaran asas seperti masalah infrastruktur, kelemahan tenaga pengajar dan kualiti pendidikan tinggi yang semakin merudum.

“Beberapa bulan lalu, negara dikejutkan dengan sekolah tak berdinding dan tidak mempunyai bekalan elektrik atau air bersih yang boleh diminum.

“Kita juga dengar rungutan guru mengenai beban pentadbiran dan aplikasi IT yang tidak bermanfaat.

“Universiti kita pula masih dibelenggu campur tangan politik sehingga program-program ilmiah mahasiswa disekat, sepertimana yang berlaku di Universiti Islam Antarabangsa minggu ini.

“Dengan segala masalah tersebut, gangguan makhluk halus dalam kalangan pelajar perempuan asrama pula yang menjadi tumpuan para cendekiawan kita,” kata Zairil.

Menurut Zairil, Pusat Islam dan Pembangunan Insan UMP seharusnya menumpukan usaha kepada kajian seperti pembangunan sains Islam yang ketika ini menjadi fenomena akibat kritikan terhadap sains positivisme.

Sains yang dipelopori sarjana-sarjana Islam seperti Ismail Faruqi, Sayyed Hussein Nasr, Ziauddin Sardar dan Maurice Bucaille menurut ahli parlimen itu harus dicermati bagi membangunkan bidang sains di Malaysia.

“Tanpa membangunkan asas sains Islam, produk seperti kit halau makhluk halus yang kononnya mematuhi syariah ini akan mengaibkan nama Islam.

“Tambahan pula ia semakin disalahguna sebagai jenama meningkatkan pasaran segala jenis produk, daripada air minuman sehingga ke sistem perbankan dan kewangan.

“Saya amat berminat untuk tahu cara kajiannya. Jika benar dakwaan ini, maka kita harus cadang mereka untuk mendapat hadiah Nobel dalam fizik kerana berjaya buktikan kewujudan kehidupan dimensi lain.

“Namun jika tak benar, saya mohon pihak pentadbir universiti nilai dan susun semula keutamaan mereka,” jelas Zairil. – Roketkini.com