Berita

DAP cadang Jalan Barat dinamakan ‘Jalan V. David’ sempena hari pekerja

KAMPUNG TUNKU, 3 MEI: Sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei, Kerajaan Selangor dicadang menamakan semula satu jalan di Petaling jaya dengan nama ‘Jalan V. David’ bagi memperingati tokoh gerakan kesatuan pekerja itu.

ADUN Kampung Tunku Lau Weng San mengatakan perayaan Hari Pekerja di Selangor akan lebih bermakna jika Kerajaan Negeri menamakan jalan itu sempena nama mendiang V. David.

“Perayaan Hari Pekerja tahun ini akan jadi sangat bermakna, kerana 2015 menandakan 10 tahun kita kehilangan mendiang V. David, seorang tokoh pembinaan negara yang utama di dalam sejarah,”ujar Weng San.

Menurut beliau cadangan untuk menamakan Jalan Barat kepada Jalan V. David diusahakan oleh beberapa NGO termasuklah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia(MTUC) pada tahun 2010. Cadangan itu tambahnya disokong masyarakat setempat terutamanya golongan pekerja di Petaling Jaya.

“Cadangan ini memang patut kerana bangunan Kesatuan Sekerja Pengangkutan(TWU) yang ditubuhkan dan diketuai mendiang V. David terletak di jalan itu. Beliau bertugas di situ sejak memulakan aktivitnya.

“Bahkan, saya mengenali beberapa orang pengundi yang dulunya adalah pekerja masih mengingati kenangan bagaimana mendiang V. David membantu mereka ketika mereka ditindas majikan dan pegawai kerajaan. Pejabatnya di Jalan Barat itu kemudian menjadi popular di kalangan golongan kelas pekerja,”jelas Weng San.

V. David ketika hayatnya pernah menjadi Ahli Majlis Kuala Lumpur di samping menjadi setiausaha Kongres Sekerja Pengangkutan pada 1958. Ketika berusia 26 tahun beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen Bangsar di bawah tiket Parti Buruh. Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Institut Teknologi Pekerja(WIT) yang terletak di Jalan Banting, Kampung Idaman dan Pelabuhan Klang.

“Cadangan menamakan semula Jalan Barat pada 2010 ditangguh bekas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kerana beberapa sebab.

“Sekarang adalah waktu yang tepat untuk kerajaan negeri fikirkan semula cadangan ini lebih-lebih lagi kita ada Menteri Besar yang baru. Saya akan tulis kepada Yang Berhormat Azmin Ali untuk panjangkan cadangan ini,” ujar Weng San lagi.-Roketkini.com