Rencana

Catatan separuh masa kempen PRK Permatang Pauh

Kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh sudah lebih seminggu. Kepanasan mula muncul, bermula pada 29 April hari ke-5 berkempen apabila lebih seribu hadir di Tapak Ekspo Seberang Jaya bagi ceramah Pakatan Rakyat. Dua hari selepas itu, lebih kurang 2500 orang penyokong hadir ke ceramah Pakatan Rakyat di Taman Ciku.

Calon Parti Keadilan Rakyat ialah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ataupun lebih dikenali di kalangan pengundi dan pekerja kempen sebagai ‘Kak Wan’. Bila rakan saya Melvin bertemu dengannya buat kali pertama terus terpanggil ‘Kak Wan’. Menyedari mungkin kurang sopan memanggil begitu, Melvin segera perbetulkan ayat panggil, “Datuk Seri”. Jawab Kak Wan ringkas, “panggil je Kak Wan”.

Kak Wan miliki kepedulian yang tulen terhadap orang lain (breaker)

Berkempen dengan Kak Wan seperti mana-mana kempen memanglah meletihkan sebab kena cover kawasan yang amat besar. Jadual saya bermula seawal 8 pagi sehingga habis mesyuarat briefing (taklimat) harian yang kadang kala boleh berlanjutan sehingga jam 3 pagi.

Namun ada suatu perasaan senang hati bila berkempen bersama Kak Wan. Mesranya bukan sekadar mesra orang politik, dia benar-benar peduli hal ehwal penduduk di sini.

Di beberapa kawasan yang kami turun bersama Kak Wan, selalunya akan terjumpa orang yang ingat lagi Kak Wan sebagai Ahli Parlimen mereka dulu; sampai ada seorang auntie umur dah 82 tahun di Kampung Bukit Merah – bila kami ke rumahnya dia berkata, “saya tau Kak Wan, dia selalui mai tengok kami”.

Tak kiralah Melayu, Cina, India ramai orang dari Sama Gagah hingga ke Guar Perahu, kepada mereka Kak Wan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim macam kenalan lama.

Ada seorang pekedai di pekan Kubang Semang bila Kak Wan ke kedainya, mereka terus macam kawan lama – “Ayah saya kawan lama Kak Wan”

Dan Kak Wan benar-benar peduli, bila terjumpa orang tua yang uzur dia terus beri ‘diagnosis’, sifat kedoktoran tak hilang dalam diri.

Ada sekali Kak Wan berpesan kepada saya untuk beri cadangan kepada kerajaan negeri buat program pemberian vitamin kepada warga emas di kawasan pedalaman, sebab di waktu kempen, dia mendapati ada beberapa orang pakcik dan makcik mempunyai simptom kekurangan vitamin – ‘lidah mereka licin,” katanya.

Ada sekali pula dia ternampak kulit muka saya kering lalu menasihati saya untuk menjaga kesihatan. Begitulah kepedulian Kak Wan terhadap orang lain, beliau teliti memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi dan kemudian mengambil berat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Calon BN Permatang Pauh juga dapat kontrak kerajaan negeri (breaker)

Taktik pihak lawan minggu pertama – perkauman, fitnah, ‘janji kitar semula’ dan serangan peribadi

Pihak lawan tak mampu menandingi sosok tubuh bernama Kak Wan. Moralnya tinggi, kepedulian terhadap rakyat yang tulen, perjuangan untuk orang miskin dan tertindas tidak pernah luntur, keluarga beliau telah banyak berkorban demi rakyat dan negara.

Maka ada yang cuba guna jalan mudah – main balik kaset lama, isu perkauman dan agama. Dalam minggu pertama ini, sudah ada banner dan risalah provokatif tentang kaum dan agama. Di kawasan Cina, kain rentang tidak bernama menghentam DAP sokong Hudud, di kawasan Melayu pula kata DAP tak hormat ulama.

Taktik zaman penjajah masih belum luput nampaknya. Pecah dan perintah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut ambil bahagian dalam permainan ini – katanya kerajaan negeri Pulau Pinang tak bantu peniaga bumiputera, sedangkan calon Barisan Nasional sendiri merupakan salah seorang kontraktor Melayu di Pulau Pinang yang mendapat kontrak kerajaan negeri.

Permatang Pauh juga dijadikan medan menabur fitnah demi kepentingan politik sempit. Di laman Facebook mula timbul gambar cek bernilai RM2.5 juta kononnya daripada syarikat air negeri Pulau Pinang, PBA Holdings Bhd. kepada orang tertentu untuk mendapatkan sokongan kepada Kak Wan. Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd. telahpun membuat laporan polis terhadap cek palsu tersebut.

Kalau Kak Wan calon kitar semula, macam mana dengan Najib, Khairy Jamaluddin? (breaker)

Ada pula taktik menyerang peribadi, konon Kak Wan kena jaga cucu, jaga anak, jaga suami. Apakah kini yang sudah bergelar Datuk dan Nenek tidak boleh menjadi Ahli Parlimen? Bukankah Perdana Menteri kita sendiri sudah bergelar Datuk (yang dianugerah Tuhan, bukan Sultan)? Ramai Ahli Parlimen, dan ADUN kita yang ada anak dan cucu. Adakah mereka perlu meletak jawatan?

Dulu di Kajang, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menghina Kak Wan panggil dia ‘doll’ (patung). Jangan lupa, nenek ini, ‘doll’, ini merupakan pemenang pingat emas Royal College of Surgeon Ireland, beliau merupakan seorang doktor pakar, presiden sebuah parti pembangkang utama di negara kita, sudah pernah menyandang jawatan Ahli Parlimen selama lebih dua penggal serta pernah menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Ada pula taktik ‘kitar semula janji’, bila Kak Wan diumumkan sebagai calon, pihak lawan mula mengejek kata dia ‘calon kitar semula’. Ini pelik, sebab Perdana Menteri dan Presiden UMNO sendiri bertanding di kerusi yang sama, Pekan, sejak 1976 sudah 10 penggal pilihan raya. Apakah Perdana Menteri ‘calon kitar semula’ juga?

Tapi yang jelas ialah pihak Barisan Nasional sendiri ‘janji kitar semula’. Salah satu perkara dalam manifesto Barisan Nasional ialah janji untuk menaiktaraf Hospital Seberang Jaya. Hospital itu dah beberapa tahun terlalu sesak, kadar penggunaan katil mencecah 105%.

Kerajaan pusat telah berjanji untuk menaiktaraf hospital tersebut dalam Rancangan Malaysia ke-9 (2006-2010). Namun sehingga kini, sudah nak masuk Rancangan Malaysia ke-11, janji tidak tertunai. Kini janji lapuk dan luput tersebut dikitar semula menjadi manifesto Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Entah apa taktik baru akan dimainkan masuk minggu terakhir berkempen ini. Yang pasti ialah, provokasi kaum, fitnah, janji kitar semula dan serangan peribadi akan ditingkatkan lagi.

Permatang Pauh, Ibu Reformasi

Manifesto yang paling penting ialah adakah bakal Ahli Parlimen Permatang Pauh mempunyai wibawa dan keberanian untuk membela nasib rakyat daripada dasar zalim seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan, daripada undang-undang zaman penjajah seperti Akta Hasutan dan menentang rasuah serta kronisme dan, kepincangan pemerintah?

Apa gunanya Ahli Parlimen yang bersetuju 100% dengan Akta GST dalam Dewan, kemudian bila dah terkena pada batang tubuh baru rasa sakit dan melatah di Facebook kata GST membebankan rakyat.

Kemudian bila dah kena ‘sound’ dengan ‘bos’, terus u-turn lagi sokong GST semula. Ini bukan cerita rekaan, ini cerita betul, Ahli Parlimen tersebut, Ahli Parlimen Sepanggar, Sabah daripada UMNO, Datuk Jumat Idris. Sudah tentulah Ahli Parlimen UMNO tidak akan berani sound dekat bos dia di Parlimen.

Itulah sebabnya pemerintah bermati-matian nak hapuskan Anwar Ibrahim. Sebab beliau berani berjuang demi rakyat. Berani lawan pemerintah bela rakyat bawahan, tak gentar masuk keluar mahkamah, tak berganjak walaupun terpaksa ‘check in, check out’ penjara.

Permatang Pauh ialah Ibu Reformasi. Di sinilah lahirnya gerakan yang telah membuahkan harapan Malaysia baru – Pakatan Rakyat. Adanya Pakatan Rakyat, pemerintah tak berani buat sesuka hati. Adanya Pakatan Rakyat, tak mudah penguasa mencuri, merompak dan menindas rakyat. Adanya Pakatan Rakyat, nak buat GST pun bukan sewenang-wenangnya. Walaupun akhirnya GST berjaya dilaksanakan tetapi UMNO-BN terpaksa berdepan dengan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang berlawan mati-matian menentang gagasan rejim zalim.

Adanya Pakatan Rakyat, maka tergugatlah rejim ini, dan mungkin besar rejim akan tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Justeru, UMNO-BN bertekad hendak mematikan kerjaya politik Anwar Ibrahim. Dia bersungguh-sungguh nak Pakatan Rakyat kalah di Permatang Pauh. Sebab Permatang Pauh Ibu Reformasi. Munculnya Anwar di persada politik negara mulanya di Permatang Pauh pada tahun 1982. Munculnya gerakan Reformasi, mulanya di Permatang Pauh pada tahun 1998.

Jika Anwar sudah tiada, jika Permatang Pauh sudah kalah, maka mulalah kemerosotan Pakatan Rakyat. Bila Pakatan Rakyat sudah lemah, maka mudahlah pencuri, perompak dan penyamun negara membuat kerja jahat mereka.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Pengarah PRK Permatang Pauh, DAP