Rencana

DAPSY Sabah seru kepentingan dan hak pekerja diberi keutamaan

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sabah berasa bangga kerana bersolidiriti bersama dalam Himpunan May Day (HMD) yang dianjurkan Bersih Sabah dengan aman dan sempurna di Padang Merdeka 1 Mei lalu.

Ia membuktikan anak-anak muda dan rakyat Sabah sedar dan berani untuk bangkit bersama-sama menuntut hak mereka. Keberanian mereka adalah amat mengagumkan walaupun diberi amaran keras polis sebelum itu.

DAPSY Sabah menegaskan bahawa Hari Buruh merupakan hari yang amat bermakna dan mengingatkan kita kepada sumbangan kelas pekerja kepada pembangunan negara dan negeri. Kita tidak harus melupakan sumbangan mereka.

Justeru itu, saya menyeru agar kerajaan memberi keutamaan terhadap kepentingan golongan kelas pekerja.

Kini golongan pekerja terpaksa menanggung beban kehidupan yang sukar.

GST mengakibatkan pendapatan golongan pekerja yang boleh dipakaiguna (disposable income) menurun dan terjejas. Anak muda yang baru bekerja sudah pasti berasa lebih sengsara.

Ini memandangkan Timbalan Ketua Menteri Sabah Raymond Tan sendiri mengatakan bahawa pendapatan penduduk dan pekerja di bawah RM2,500 mengalami kehidupan yang sukar di kawasan bandaraya Kota Kinabalu.

Statistik menunjukkan sekitar 60 peratus golongan muda berpendapatan tidak melebihi RM2000 sebulan, dan ini amat membimbangkan.

DAPSY Sabah berharap kerajaan negeri dan persekutuan menggariskan rancangan khas untuk memberi bantuan kepada golongan pekerja khususnya golongan pekerja di Kota Kinabalu meningkatkan status kehidupan mereka.

Kini masih terdapat ramai pekerja bekerja di bawah gaji minima, dan terdapat pula pekerja yang terpaksa bekerja tanpa diberi gaji tambahan pada hari cuti umum. Ia adalah penindasan yang teruk terhadap golongan pekerja. Tindakan undang-undang harus diambil.

DAPSY Sabah menyeru kerajaan memperbaiki undang-undang berkenaan hak pekerja supaya tiada penindasan berlaku dan memastikan kepentingan pekerja dipelihara dan dijaga. Yang penting adalah, memastikan imbuhan terhadap golongan pekerja setimpal. (fair share).

Saya berasa sedih kerana melihat kebanyakan anak muda mempunyai masa depan yang tidak menentu akibat kekangan gaji. Ramai anak muda yang mempunyai kebolehan dan pengetahuan memilih untuk meninggalkan tanah air demi kehidupan yang lebih cerah.

Selari dengan hari pekerja, masalah yang dihadapi golongan pekerja perlu diberi perhatian.

Golongan pekerja merupakan asas kepada kemajuan sesebuah masyarakat, negeri dan negara.

Phoong Jin Zhe adalah Setiausaha Publisiti DAPSY Sabah