Berita

Isu rumah mampu milik di Pulau Pinang, kenapa Rahman Dahlan takut temu Guan Eng?

PETALING JAYA, 4 MEI: Sekiranya kerajaan Pulau Pinang mensabotaj’ dan mengamalan ‘‘politik dendam’,mengapa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak berani bersemuka dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng?

Demikian soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang terkejut dengan tuduhan Rahman terhadap Guan Eng yang dikatakan kononnya menghalang Pusat membina rumah mampu milik di Pulau Pinang.

“Bagaimana seorang menteri bersikap tidak bertanggungjawab sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat Pulau Pinang?

“Apakah ada perkara terselindung menyebabkannya tidak mahu bersemuka dengan Ketua Menteri?

“Adakah kerana dia takut jika kebenaran didedahkan, dia akan malu berdepan dengan Guan Eng?” soal Tony.

Menurut Tony, permohonan Kementerian Perumahan melalui agensinya JKP Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah ditolak Kerajaan Negeri.

Ini kerana agensi tersebut membuat keuntungan melampau mencecah RM 149 juta dari projek tersebut.

Antaranya pembinaan rumah yang tidak mampu dimiliki rakyat dengan harga setiap satu bernilai RM 1.8 juta di kawasan pulau dan RM 800,000 di kawasan Seberang Perai.

“Kenapa agensi Kerajaan Persekutuan membuat untung melampau ketika mahu membela rakyat?

“Berbanding mengambil tanggungjawab untuk mendanai projek rumah mampu milik di Pulau Pinang, nampaknya jelas rakyat dipaksa memasukkan duit ke poket kerajaan,” ujar Tony

Justeru itu, beliau menggesa Rahman Dahlan menjelaskan perkara sebenar dari hanya membuat tuduhan sekaligus menutup kebenaran.

“Rahman mesti menjelaskan kenapa kerajaan negeri wajar membenarkan projek yang jelas mengeksploitasi kepentingan rakyat Pulau Pinang.

“Sudahlah membuat tuduhan tak berasas, sepatutnya Rahman menegur agensi Pusat di bawah pentadbirannya kerana cuba mengaut untung,” tegas Tony lagi – Roketkini.com