Rencana

Pengukuhan Akta Hasutan, fitrah sang penindas

Kenyataan media sempena Hari Kebebasan Media 2015 oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada 3 Mei 2015.

Pada Hari Kebebasan Media, kita menyatakan penghargaan atas usaha sumbangan yang dikerjakan oleh para wartawan dan organisasi media di Malaysia dan di seluruh dunia bagi memaklumkan orang ramai tentang isu-isu yang mempunyai kepentingan di semua peringkat tempatan, nasional dan luar negara.

Kita memperkukuhkan prinsip kebebasan berpendapat dan kebebasan media yang termaktub di dalam Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia. Media yang bebas adalah komponen penting bagi memastikan wujudnya semak imbang terhadap pentadbiran kerajaan dan amat-amat penting bagi memupuk urustadbir yang baik serta ketelusan.

Di zaman internet dan media sosial, keperluan untuk melindungi pihak media daripada ugutan, gangguan dan penindasan harus juga mencakupi mereka yang turut terlibat dalam menyebarkan maklumat termasuklah para blogger, wartawan rakyat dan organisasi media online.

Malangnya kebebasan akhbar di Malaysia bukanlah sebuah konsep yang difahami ataupun diamalkan oleh kerajaan Malaysia. Malaysia tersepuk di kedudukan terbawah dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia pada tangga 147 daripada 180 negara menurut ranking tahun 2015 yang dikumpulkan oleh Reporters Without Borders (RSF).

Wartawan dan pengarang terus diganggun oleh pihak berkuasa, terkini empat orang pengarang The Malaysian Insider ditangkap bersama-sama penerbit The Edge Media Group Ho Kay Tat di bawah Akta Hasutan.

Ini ternyata satu titik hitam buat kebebasan akhbar di negara ini dan memperlihatkan salahguna Akta Hasutan secara berterusan bukan sahaja terhadap ahli politik tetapi juga ke atas para pengamal media.

Kartunis politik Zunar juga mencatat sejarah apabila didakwa dengan 9 pertuduhan hasutan bagi sebuah siri tweet berikutan tertolaknya rayuan Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan.

Pindaan drakonian terbaru terhadap Akta Hasutan dengan meluaskan skopnya secara spesifik ke atas media online hanya akan membuka peluang penyalahgunaan oleh pihak berkuasa terhadap para wartawan, blogger dan pengarang.

Apa yang benar-benar membimbangkan adalah pindaan drakonian terhadap Akta Hasutan tersebut dibuat walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjanji sebanyak tiga kali untuk memansuhkan akta tersebut.

Jelas sekali pindaan-pindaan drakonian ini bertujuan untuk dimanipulasi sebagai senjata politik untuk digunakan ke atas mereka yang menentang BN sepertimana yang dapat dilihat dalam penangkapan beramai-ramai peserta himpunan anti-GST, berbanding episod biadab oleh pemimpin Umno tempatan di Selangor memaksa sebuah gereja untuk menanggalkan tanda salibnya yang merupakan suatu tindakan tidak bertamadun namun tidak menerima hukuman.

Pengukuhan fitrah menindas Akta Hasutan ini dan tidak memansuhkannya sepertimana yang dijanjikan menandakan bahawa hak dan kebebasan asas untuk memberi pendapat serta sebarang kebebasan akhbar yang tersisa berada dalam keadaan bahaya.

Bulan lepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melawat ibu pejabat UNESCO di Paris untuk melobi jawatan dalam lembaga eksekutifnya bagi tahun 2015-2019.

Namun pada masa yang sama kerajaan Malaysia enggan menyambut Hari Kebebasan Media yang diraikan oleh UNESCO dengan memberikan anugerah UNESCO/Guillermo Cano World Press Freedom Prize kepada ‘individu, organisasi atau instusi yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada usaha mempertahan dan/atau memupuk kebebasan akhbar di mana-mana di dunia’

Seandainya Malaysia benar-benar mahu memikul tanggunjawab sepenuhnya sebagai anggota lembaga eksekutif di UNESCO, saya menyeru kerajaan Malaysia supaya:

– Mansuhkan Akta Hasutan, yang merupakan janji pra-pilihanraya 2013 oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak
– Merayakan dan menjunjung nilai-nilai dan prinsip-prinsip Hari Kebebasan Media
– Menyatakan suatu komitmen kepada orang ramai untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia ke kedudukan 50 teratas dalam masa tiga tahun akan datang
– Memenuhi janji tiga kali Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Hasutan