Berita

SPR patut tumpu reformasi pilihanraya, bukan dengar cakap Ridhuan Tee

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa memberi tumpuan kepada syor-syor Jawatankuasa Pilihan Raya Khas Parlimen Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang telah dibuat lebih daripada tiga tahun lalu daripada sibuk memikirkan cadangan pensyarah penuh kontroversi Ridhuan Tee.

Ini berikutan laporan media bahawa Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof sedang mengkaji cadangan pensyarah itu yang mahu supaya calon-calon yang bertanding pilihan raya mestilah sekurang-kurangnya memperolehi kepujian bagi kertas Bahasa Malaysia dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya menyarankan SPR untuk memberi tumpuan kepada kajian yang SPR berjanji akan dijalankan berikutan syor-syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya,” tegas Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kian Ming, pada 19 April 2012 Pengerusi SPR berjanji untuk menjalankan kajian terperinci terhadap syor dari penerbitan kajian JPKP mengenai penambahbaikan yang tidak dapat dilaksanakan dalam PRU ke-13.

“Lebih daripada 3 tahun selepas jawapan Pengerusi SPR, tidak kelihatan mana-mana kajian diterbitkan ataupun dibincangkan secara terbuka oleh SPR,” ujar beliau.

Syor-syor yang memerlukan kajian yang lebih terperinci termasuk (i) penyediaan garis panduan dan prosedur untuk kerajaan sementara, (ii) kemungkinan pendaftaran automatik untuk pengundi yang layak, (iii) syor untuk memisahkan fungsi utama SPR iaitu pendaftaran pengundi , menjalankan pilihan raya dan persempadanan semula kawasan pilihan raya, (iv) cadangan bahawa sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kerusi Parlimen adalah dari Sabah dan Sarawak dan (v) kemungkinan menambah baik ataupun menukar sistem pilihan raya First-Past-the-Post sedia ada kepada sistem campuran FPTP dan Perwakilan Berkadaran (Proportionate Representation) ataupun sistem PR sahaja.

“SPR sepatutnya memberi tumpuan kepada penunaian janji-janji yang dibuat lebih daripada 3 tahun yang lalu, dan bukan untuk memberi tumpuan kepada cadangan yang dikemukakan oleh Ridhuan Tee,” tegas Dr Ong. – Roketkini.com