Berita

GST kad prabayar: Jangan sampai Kerajaan tanggung kos selaras semula harga

KUALA LUMPUR, 6 MEI: DAP mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap syarikat telekomunikasi yang cuba menaikkan harga kepada pengguna kad prabayar telefon mudah alih.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, tindakan memangsakan pengguna itu jelas melanggar undang-undang Anti-Pencatutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri telah membidas kenaikan harga itu dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap peniaga yang memanipulasi GST demi keuntungan sendiri.

“Apabila syarikat-syarikat telekomunikasi ini menaikan harga 6 peratus secara serentak pada masa yang sama, ia jelas mencerminkan amalan anti-persaingan dan pakatan sulit,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan Bahagian IV (Peraturan Ekonomi), Bab 2 (Amalan Persaingan Am) Fasal 133 Akta Komunikasi dan Multimedia, pengendali telekomunikasi dilarang ‘membuat apa-apa tingkah laku yang mempunyai maksud mengurangkan persaingan dengan cukup besar dalam suatu pasaran komunikasi.’

Peraturan Ekonomi itu juga menyebut bahawa pemegang lesen telekomunikasi tidak boleh membuat apa-apa persefahaman, perjanjian atau perkiraan, sama ada boleh dikuatkuasakan secara sah atau tidak, yang memperuntukkan penetapan kadar dan perkongsian pasaran.

Tegas Tony, syarikat telekomunikasi tempatan juga telah menikmati feadah yang cukup besar apabila mereka dibenarkan untuk meningkatkan margin keuntungan mereka sebanyak 6 peratus April lalu berikutan pelaksanaan GST.

“Berdasarkan hasil tahun lalu, mereka telah telah pun mengumpul margin keuntungan tambahan sebanyak RM64 juta dan ia mencukupi untuk membayar penyelarasan semula sistem komputer,” tegasnya.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam temu bual dengan RTM berkata beliau akan berusaha memastikan rakyat dapat menikmati pembelian kad tambah nilai prabayar telefon dengan formula ‘beli RM10, dapat RM10’.

Beliau berkata, pendiriannya itu akan diketengahkan dalam pertemuan dengan peneraju syarikat telekomunikasi tempatan sebelum dibawa ke Kabinet untuk keputusan seterusnya.

Tony menyatakan beliau menyambut baik cadangan itu tapi menegaskan kos penyelarasan semula harga perlu ditanggung syarikat telekomunikasi dan bukan kerajaan atau pengguna.

Setiausaha Publisiti DAP itu berkata di samping peniaga kecil, Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga perlu memastikan syarikat gergasi turut mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Shabery perlu henti bersikap berat sebelah dengan mengambil tindakan terhadap peniaga kecil yang didakwa menipu sebaliknya membiarkan jerung besar bebas,” katanya.

Menurut Tony, syarikat telekomunikasi utama seperti Maxis Communications, Digi Telecommunications dan Celcom Axiata mencatat keuntungan bersama hasil jualan kad prabayar sebanyak RM12.8 bilion.

Katanya, kadar GST 6% menggantikan kadar sama cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak akan memberi kesan terhadap keuntungan mereka.

“Jadi, tidak ada sebab kerajaan menawarkan pengecualian kepada telco daripada memenuhi tanggungjawab cukai pada masa sama mengekalkan harga semasa,” jelas beliau. -Roketkini.com