Berita

Siasat twitter Jay Jay Denis: KPN digesa henti takutkan rakyat

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar disaran tumpu keutamaan menyiasat kes jenayah sebenar daripada sibuk menjalankan siasatan terhadap perkongsian Twitter pembantu Ahli Parlimen Klang, Jay Jay Denis.

Denis dipanggil pihak polis kira-kira jam 4 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi mendapatkan keterangan berhubung status Twitternya yang mempersoalkan tangkapan peserta himpunan #BatalGST Jumaat lalu.

Ditemani peguam Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Denis berkata kepada wartawan siasatan ke atasnya hari ini adalah satu tindakan membuang masa oleh pihak polis.

“Dasar siasatan terhadap twitter saya itu adalah tidak perlu, mereka sudah hilang keutamaan, kerja pihak polis ialah menjaga keamanan rakyat bukannya mengganggu rakyat, apa yang mereka lakukan hari ini jelas adalah bertentangan dengan kerja mereka itu,

“Saya gesa pihak polis untuk hentikan siasatan seperti ini, dan hentikan gangguan terhadap rakyat,” ujar Denis.

Dalam pada itu, Charles Santiago juga turut membidas pihak polis yang menggunakan kuasa menakut-nakutkan orang muda seperti Denis hanya kerana menyuarakan pandangannya dalam media sosial.

“Orang muda seperti Denis yang bukan ahli mana-mana NGO dan parti politik bukan ancaman kepada negara, ini adalah satu siasatan yang membuang masa polis, sepatutnya mereka siasat kes jenayah yang berlaku dalam negara.

“Ini betul-betul kerja buang masa saja, Khalid patut henti takutkan rakyat dan dia patut henti siasat twitter rakyat,” jelasnya.

Denis yang menyambut hari lahir ke-22 hari ini disiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara dan denda atau kedua-dua sekali. – Roketkini.com