Berita

Dr Wan Azizah menang PRK Permatang Pauh, majoriti 8,841

PERMATANG PAUH, 7 MEI: Walaupun terpaksa berdepan pelbagai taktik kotor UMNO-BN, namun kerusi Parlimen Permatang Pauh kekal menjadi milik PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan undi sebanyak 30,316 berbanding calon BN sebanyak 21,475 undi.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR menang dengan majoriti sebanyak 8,841.

Kemenangan tersebut telah diisytiharkan oleh SPR di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), pada jam 10.15 malam sebentar tadi.

PRK Permatang Pauh kali ini menyaksikan sebanyak 74 peratus daripada 71,252 pengundi berdaftar yang mengundi, dengan undi yang ditolak sebanyak 843 undi.

Jumlah tersebut agak rendah dari jangkaan 80 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selepas proses pengundian tutup pada jam 5 petang, seramai 73.71 peratus yg hadir membuang undi.

Sebelum itu, pada 3 Mei, seramai 549 orang dari keseluruhan 627 pengundi telah membuat undian awal.

Beberapa kekecohan berlaku dalam proses pengundian PRK kali ini apabila perilaku tidak bertamadun penyokong BN mencetuskan provokasi melampau serta membaling kerusi di SK Tanah Liat dan Sekolah Menengah Guar Perahu termasuk kejadian pengundi hantu di pusat mengundi SRJK (C) Jit Sin. – Roketkini.com.