Rencana

Guna perkauman serang kerajaan Pulau Pinang, Menteri BN hilang maruah

Saya terkejut apabila Heng Seai Kie meminta saya memohon maaf bagi sebuah kain rentang yang dinaikkan oleh PKR ketika kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh. Saya tidak akan berbuat demikian.

Adalah sangat mengarut bagi Ketua Wanita MCA yang juga seorang Timbalan Menteri untuk mendakwa bahawa kaum Cina tidak mempunyai sebab untuk membantah GST, kerana orang Melayu yang akan membayar lebih disebabkan mereka mempunyai lebih ramai anak. GST memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama.

Dalam usaha memenangi PRK Permatang Pauh, BN dan UMNO kehilangan maruah dan kehormatan mereka, ekoran telatah menteri-menteri mereka yang menipu, mengugut dan membuat serangan-serangan perkauman terhadap Kerajaan Pulau Pinang. Menteri Pertanian, Ismail Sabri Yaakob malah mengancam bahawa para petani di Permatang Pauh tidak akan menerima dana sekiranya UMNO tewas.

Kerajaan Pulau Pinang akan menangkis segala penipuan yang dibuat dengan nada perkauman oleh menteri dan timbalan menteri UMNO-BN sepanjang kempen PRK Permatang Pauh dengan menggunakan fakta dan angka. Hanya kerana saya satu-satunya Ketua Menteri bukan-Melayu di Malaysia, tidak bermakna menteri UMNO boleh membuli saya dengan melancarkan serangan-serangan provokatif penuh pembohongan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengepalai serangan ini dengan mendakwa kononnya kerajaan negeri telah gagal menjaga kepentingan kontraktor Bumiputera. Kerajaan Pulau Pinang pun mendedahkan bahawa sejak 2008, RM8.3 bilion kontrak telah diberikan di bawah sistem tender terbuka kompetitif kami.

Daripada jumlah RM8.3 bilion ini, 94% atau RM7.8 bilion daripada jumlah besar tersebut telah diberikan kepada kontraktor Bumiputera.

Muhyiddin terus membisu dan tidak berani menjawab fakta bahawa 94% kontrak kerajaan negeri telah diberikan kepada syarikat Bumiputera. Malah calon UMNO Permatang Pauh, Suhaimie Shabudin yang juga seorang kontraktor, turut membisu dan tidak menjawab soalan media tentang syarikat mana yang beliau terlibat dan mendapat faedah daripada kontrak kerajaan negeri.

Kontrak RM8.3 bilion yang diberikan ini serta penambahan pelaburan sebanyak 94% menjadikan jumlah RM48.2 bilion antara tahun 2008-2014 berbanding tempoh yang sama antara 2001-2007 sebanyak RM24.9 bilio menafikan dakwaan BN bahawa Permatang Pauh dan Pulau Pinang tidak membangun.

Di Permatang Pauh, pemberian dalam bentuk tunai sebanyak RM8.2 juta diagihkan, selain RM44.4 juta dibelanjakan ke atas infrastruktur seperti jalanraya, perparitan, naiktaraf pasar dan balai raya sejak tahun 2008.

Ini kemudiannya diikuti serangan terhadap kerajaan Pulau Pinang yang kononnya meminggirkan agama Islam. Sekali lagi kami mengemukakan bukti bahawa peruntukan yang diberikan Pakatan Rakyat lebih dua kali ganda berbanding apa yang diluluskan BN pada tahun 2008 iaitu sebanyak RM25.5 juta oleh BN, menjadi RM52.2 juta oleh PR pada tahun 2014.

Serangan terbaru pula daripada Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang menafikan kerajaan Persekutuan meminta kenaikan tarif air, sedangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah pun dilaporkan meminta kenaikan tersebut di seluruh negara pada 25 April 2015.

Begitu juga halnya dengan dakwaan Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof bahawa peruntukan jalanraya kerajaan Persekutuan tidak digunakan sepenuhnya, apabila hanya RM12.8 juta digunakan daripada peruntukan RM27.37 juta bagi tiga bulan pertama setakat 31 Mac 2015.

Fadillah berkata bahawa tahun lalu, Pulau Pinang hanya menggunakan sejumlah RM 53 juta daripada RM64 juta yang diperuntukkan. Ini juga tidak benar dan akan ditangkis dengan fakta yang menunjukkan peruntukan ini digunakan sepenuhnya.

Menang kalah dalam pilihanraya kecil adalah satu kelaziman dalam proses demokrasi. Sebagai peserta proses demokrasi, ahli politik mestilah menghormati keputusan pengundi.

Kepimpinan yang bertanggungjawab akan memastikan pihaknya menang secara terhormat, dan kalah secara bermaruah. Tidak kiralah sama ada UMNO-BN akhirnya menang di Permatang Pauh pun, penipuan, ugutan dan serangan perkauman menunjukkan bahawa mereka sama sekali kehilangan maruah dan kehormatan. – Roketkini.com