Berita

Tabung Haji didakwa guna RM772 juta beli tanah TRX

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari hari ini mendedahkan bahawa badan amanah penyimpan duit bakal haji, Lembaga Tabung Haji (LTH) terlibat dalam projek berisiko tinggi.

Zairil merujuk pendedahan portal The Malaysian Reserve mengenai rancangan LTH membeli dua bidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) seluas lima ekar projek dari pembangunan hartanah 70 ekar yang dicadangkan 1MDB sebagai ‘hub kewangan dan ekonomi antarabangsa masa depan’.

Berdasarkan sumber tertentu dan blog tanpa nama, sebuah terbitan yang didakwa sebagai siri lengkap pembocoran dokumen dalaman, didedahkan bahawa Menteri bertanggungjawab bagi dana jemaah haji akan mempercepatkan perjanjian antara 1MDB dan LTH.

Rakyat Malaysia masih tidak lupa bahawa 1MDB telah membeli keseluruhan 70 ekar tanah yang kini dikenali sebagai TRX dengan harga rendah, iaitu RM64 sekaki persegi pada tahun 2011 dengan kos pengambilalihan RM194 juta.

Menurut dokumen yang dibocorkan, pada 13 April 2015, Menteri meluluskan cadangan Panel Pelaburan LTH bertarikh 30 Mac 2015 untuk membeli dua plot tanah di TRX.

Antara butirannya adalah Plot B.10.15-RT kira-kira 1.56 ekar berharga RM194 juta, bersamaan RM2,860 sekaki persegi, yang akan dibangunkan menjadi apartmen perkhidmatan 40 tingkat.

Selain itu, Plot C7.7-CT, berkeluasan 3.4 ekar berharga RM578 juta, bersamaan RM3,900 sekaki persegi bagi pembinaan bangunan pejabat 74 tingkat.

Pembelian dua lima ekar tanah ini bernilai RM772 juta di antara RM2,860 hingga RM3,900 sekaki persegi adalah terlalu tinggi, memandangkan 1MDB telah membelinya empat tahun lalu dengan harga RM64 sekaki persegi.

“Apa yang membuat perjanjian itu lebih sukar dipercayai adalah laporan penilaian risiko oleh pasukan pengurusan risiko dalaman LTH pada 9 April 2015 yang menyatakan bahawa projek itu ‘berisiko tinggi’.

“Ini berdasarkan kepada banyak faktor, termasuk kesuraman sektor hartanah semasa berikutan permintaan rendah dan tinjauan makro-ekonomi yang mencabar.

“Pada masa sama, laporan itu turut memberi amaran mengenai kesukaran pembeli mendapatkan pembiayaan, selain pengenalan GST dalam urus niaga hartanah, suatu trend yang pernah terjadi di Singapura,’ ujar Zairil.

Laporan itu juga menyatakan bahawa terdapat lebihan bekalan semasa kondominium mewah di Lembah Klang, dengan sebahagian besar daripada penawaran di pusat bandar, di mana TRX berada.

Justeru itu, penilaian risiko menunjukkan penurunan harga di kawasan tersebut sejak akhir 2013, dengan perbandingan urusniaga menunjukkan tanah yang dijual dengan harga antara RM649.49 sekaki persegi di Jalan Ceylon kepada RM2,266.85 sekaki persegi di Jalan Changkat Ceylon.

Qatar, Abu Dhabi pertimbang pelaburan di TRX

Laporan turut menyatakan kebimbangan mengenai kadar pembangunan projek TRX yang perlahan, dan kebimbangan bahawa pelabur utama dari Qatar dan Abu Dhabi yang kini dikatakan menimbangkan semula pelaburan mereka.

Manakala pengurus risiko mengingatkan mengenai risiko ‘reputasi’ kepada LTH jika terlibat dalam apa-apa projek, berikutan kemelut kewangan berterusan 1MDB, selain siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Jabatan Audit Negara.

Ujar Zairil, erdasarkan senario risiko tinggi tersebut, antara perkara yang dipersoalkan adalah sama ada LTH boleh mendapatkan semula pelaburan yang dijangka berjumlah RM3.2 bilion, termasuk RM772 juta bagi tanah dan RM2.4 bilion kos pembangunan.

Ini ditambah pula dengan Program Sukuk 1MDB RM1.6 bilion di Bandar Malaysia, dengan laporan risiko bahawa jumlah yang melibatkan LTH dalam 1MDB sehingga RM4.8 bilion, dirasakan ‘agak besar untuk pelaburan entiti tunggal’.

“Perkara ini tidak akan menjadi isu utama yang menjadi kebimbangan orang ramai sekiranya LTH adalah pemaju swasta yang melaburkan wangnya ke atas projek yang berisiko tinggi.

“Namun LTH, sebagai penyimpan dana jemaah haji Malaysia adalah sebuah institusi ditubuhkan untuk menguruskan simpanan umat Islam dengan tujuan bagi menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu mengerjakan haji ke Mekah.

“Dengan tanggungjawab tersebut keatas bahunya, pelaburan dibuat LTH bukan sahaja perlu mematuhi syariah, bahkan tidak boleh dibuat dengan mengambil berisiko sehingga menjejaskan jutaan simpanan bakal jemaah haji,” ujar Zairil. – Roketkini.com