Berita

“Harga pembelian tanah tak masuk akal, Tabung Haji selamatkan 1MDB?”

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Walaupun Lembaga Tabung Haji (LTH) menyatakan bahawa pihaknya hanya membeli sekeping tanah dari aset 1MDB, namun harga tersebut tetap tidak masuk akal.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari mempersoalkan harga melampau dibayar LTH kepada syarikat hartanah TRX yang juga anak syarikat 1MDB, kerana harga pasaran jauh lebih rendah.

“RM 2,773 sekaki persegi bagi tanah seluas 1.56 ekar melampau tinggi, sedangkan 1MDB membeli tanah tersebut pada 2011 dengan harga RM64 sekaki persegi,” katanya.

Menurut Zairil apa yang menghairankan adalah, badan penilai risiko LTH sendiri mendedahkan harga pasaran tanah itu adalah sekitar RM 649.49 sehingga RM 2,266.

Dengan itu katanya, LTH membayar lebih RM 500 untuk setiap sekaki persegi tanah tersebut dan transaksi itu lebih banyak menguntungkan 1MDB kerana berjaya mengaut RM 184 juta hanya dengan bertindak sebagai broker tanah.

Tambah Zairil, LTH tidak bijak kerana mengaitkan nama baik mereka dengan skandal hutang RM 42 bilion 1MDB yang tenat sekaligus menjatuhkan reputasi badan amanah caruman umat Islam itu.

“Caruman pelanggan Tabung Haji kini dalam bahaya.

“LTH patut respon secepat mungkin kerana indakan tidak bijak mereka (dilihat) cuba menyelamatkan hutang 1MDB menggunakan dana awam,”ujar Zairil lagi.

LTH sebelum ini menafikan pembelian dua keping tanah dari Tun Razak Exchange (TRX) berharga sekitar RM 188.5 juta atau RM 2,773 sekaki bagi tanah seluas 1.56 ekar. – Roketkini.com