Berita

Kemenangan Permatang Pauh hasil kerjasama padu ketiga parti Pakatan

BUKIT MERTAJAM, 8 MEI: Kemenangan Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh semalam adalah hasil kerjasama padu antara ketiga-tiga parti PKR, PAS dan DAP.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata, pencapaian PRK semalam mengulangi kejayaan pilihanraya umum 2013 yang menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi undi popular sebanyak 52 peratus.

“Pakatan kekalkan prestasi cemerlang 2013 bagi pilihanraya ini.

“Ini bermakna, momentum untuk sebuah perubahan masih kukuh walaupun percubaan rejim UMNO dan Barisan Nasional yang ingin memecahkan gabungan Pakatan Rakyat,” kata Steven.

Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya DAP PRK Permatang Pauh berkata, politik lama berdasarkan kaum jelas ditolak rakyat, dan kemenangan Dr Wan Azizah menunjukkan tsunami rakyat menolak Barisan Nasional dari persada politik negara.

“Ini bukan lagi zaman politik perkauman, tapi zaman politik urus tadbir yang baik.

“Keputusan PRK ini buktinya,” kata Steven.

Dalam pada itu Steven membidas propaganda pihak tertentu bahawa pengundi Cina kembali kepada BN, sedangkan hakikat sebenar menunjukkan sebaliknya.

“Jika ada penurunan undi di Sungai Lembu (kawasan pengundi majoriti Cina) adalah kerana masalah tempatan.

“Ia tidak menunjukkan keseluruhan aliran mengundi masyarakat Cina di Permatang Pauh,” jelas Steven.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kembali ke Parlimen selepas diisytihar menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh semalam.

Presiden PKR itu meraih 30,316, menang dengan majoriti 8,841 undi, meninggalkan calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi.

Dua lagi calon, Azman Shah dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) menerima 101 undi, manakala calon bebas Salleh Ishak menerima 367 undi, manakala sebanyak 843 undi rosak. – Roketkini.com