Berita

Kenapa KPN tangkap peserta #BatalGST tapi senyap demo ‘anti-salib’?

PUCHONG, 8 MEI: Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mendesak Ketua Polis Negara Tan Seri Khalid Abu Bakar menjawab pertanyaan Presiden Majlis Peguam Steven Thiru mengenai tangkapan peserta himpunan #BatalGST.

Menyifatkan Khalid seorang yang sombong dan tidak matang, Gobind berkata jika dia tidak mampu menjawab soalan tersebut, dia tidak harus bercakap mengenai teori perundangan dan pengasingan kuasa.

“Penggunaan istilah itu oleh Khalid mencerminkan kefahaman ceteknya mengenai konsep tersebut.

“Ia tiada kaitan langsung dengan kritikan awam terhadap polis dan cara mereka (rakyat) menjaga diri mereka sendiri,” terang Gobind.

Tambah Gobind, Khalid sepatutnya memberi respon terus kepada persoalan yang dibangkitkan Majlis Peguam kerana berkait rapat dengan kepentingan awam.

“Steven bertanya mengapa polis tidak tangkap penunjuk perasaan yang mengadakan perhimpunan menuntut sebuah gereja di Petaling Jaya menurunkan salib, tetapi menahan mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan anti-GST pada 1 Mei lalu?

“Khalid mesti beri jawapan, dan saya akan bangkitkan hal ini di sidang Dewan Rakyat nanti,” tegas Gobind.

Khalid sebelum ini menerima kritikan hebat ekoran tindakan polis menangkap aktivis, pemimpin parti politik pembangkang, mahasiswa di perhimpunan #BatalGST.

Dalam masa yang sama Khalid tidak mengambil tindakan terhadap peserta himpunan yang membantah salib di Taman Medan.

Sikap Khalid tidak bertindak terhadap insiden Taman Medan itu dipercayai kerana antara yang terlibat adalah abangnya sendiri, Datuk Abdullah Abu Bakar yang juga ahli UMNO sejak 1980. – Roketkini.com