Berita

Kak Wan ke Parlimen semula, petanda baik untuk golongan wanita

GEORGE TOWN, 9 MEI: Kepulangan Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat merupakan petunjuk bahawa Malaysia bersedia memiliki lebih ramai pemimpin wanita.

Pengarah Pendidikan DAP Wanita Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata, dengan kemenangan Dr Wan Azizah yang lebih mesra dipanggil Kak Wan, sekaligus membuang pandangan tradisional dan membuka ruang kepada masyarakat menerima kepimpinan wanita.

“Kepulangan Kak Wan ke Parlimen bermakna isu-isu kami, (wanita) serta kepentingannya akan lebih didengari, diberi pertimbangan dan mendapat penghormatan yang wajar.

“Kepulangan semula beliau juga bermaksud, kami mempunyai seorang lagi wanita di Parlimen. Kak Wan adalah harapan, seorang tokoh yang begitu dihormati dan disayangi.

“Pemimpin petah yang boleh berbicara lancar dan tenang ini tentunya kehadiran beliau akan menenangkan musuh yang paling jahat sekalipun,” kata Syerleena dalam satu kenyataan.

Menurut Syerleena, Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan di ambang kemodenan, tidak boleh mengabaikan peranan wanita yang menyumbang kepada pertumbuhan negara.

“Kak Wan sendiri mengakui betapa pentingnya peranan wanita dalam menyokong gerakan reformasi sosio-politik dengan pernah menyebut ‘hak politik, sosial dan ekonomi wanita adalah penting serta tidak dapat dipisahkan daripada hak asasi manusia mereka’.

“Jangan sesekali kita lupa demokrasi tidak hanya mengenai undi, bahkan tentang dasar inklusif mengambil pandangan daripada pelbagai kumpulan yang berbeza.

“Jika Malaysia mahukan pembaharuan untuk menjadi negara demokrasi yang berfungsi, wanita perlu menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan dan mesti dibenarkan untuk diberikan peranan dalam kepimpinan,” ujarnya.

Wanita di Malaysia membentuk lebih 50 peratus daripada kira-kira 23 juta rakyat, manakala 51.7 peratus pengundi berdaftar adalah wanita, tapi jumlah perwakilan politik masih sangat rendah berbanding negara lain. – Roketkini.com