Berita

Permatang Pauh beri isyarat rakyat muak dengan BN

GEORGE TOWN, 9 MEI: Kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh baru-baru ini mengesahkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) masih kekal mendapat sokongan kuat orang ramai.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, keputusan PRK tempoh hari menghantar mesej yang kuat kepada BN bahawa rakyat secara umumnya sudah muak dengan cara mereka mentadbir dan mahukan perubahan.

“Kemenangan dalam PRK Permatang Pauh memenuhi aspirasi orang ramai terhadap kami (PR) supaya memperkukuhkan lagi kekuatan untuk menentang BN dalam PRU ke-14,” kata Kon Yeow dalam satu kenyataan.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat sehingga berjaya membantu kemenangan kepada PR.

“Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi di Permatang Pauh atas kesabaran mereka menyokong PR dan terus menghidupkan perjuangan Reformasi.

“DAP Pulau Pinang mengucapkan tahniah kepada Kak Wan di atas kemenangan beliau.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada kemenangan ini dan Jawatankuasa Pilihanraya DAP, pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli harus diberikan pujian atas tugas yang berjaya dijalankan dengan baik,” ujarnya. – Roketkini.com