Berita

Merajuk bukan cara selesaikan skandal 1MDB-Tabung Haji

IPOH, 11 MEI: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta Tun Dr Mahathir Mohamad membalas budi beliau adalah amat menyedihkan dan memalukan, kata Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Najib dalam perhimpunan UMNO di Sabah semalam, yang mendakwa beliau kekal teguh di belakang Mahathir apabila bekas Perdana Menteri itu nyaris kehilangan kedudukan sebagai Presiden UMNO pada 1987 dan meminta Mahathir membalas budi tersebut.

“Najib berkata, jika tidak boleh berbuat demikian, Mahathir tidak perlulah kecoh.

“Perkara pertama yang terlintas dalam kepala saya sebaik membaca berita ini adalah ‘bagaimana Najib boleh jadi begitu menyedihkan’,” katanya.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu menegaskan, Najib sehingga hari ini masih gagal memberikan jawapan yang memuaskan berhubung skandal 1MDB dan menyebabkan beliau dikritik dari segenap sudut termasuk Mahathir sendiri.

Kata Kula, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib bertanggungjawab untuk menjawab semua keraguan dan persoalan mengenai 1MDB termasuk pembelian tanah oleh Lembaga Tabung Haji daripada 1MDB.

“Jika Najib tidak boleh menjawab atau tidak bersedia untuk menjawab sepenuhnya keraguan dan pertanyaan yang dikemukakan, maka dia harus menerima tekanan serta kritikan berterusan termasuk bersedia meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Meminta Mahathir untuk membalas budi bagi pihaknya kerana menyelamatkan Mahathir semasa krisis 1987 adalah amat menggelikan dan menyedihkan.

Kula menyatakan, Najib sepatutnya lebih tahu bahawa kenyataan ‘I helped you, you help me’ bukan jawapan untuk mengakhiri soalan yang dibangkitkan mengenai 1MDB termasuk kesengsaraan politiknya.

Terbaru, bekas menteri Umno, Zainuddin Maidin dalam blognya turut menafikan dakwaan sokongan Najib kepada Mahathir.

Menurut Zainuddin, Najib sebenarnya menyokong Tengku Razaleigh pada waktu itu dan cuba untuk mengambil jalan selamat. – Roketkini.com