Berita

Dapatkan undi percaya di Parlimen, Kit Siang cabar Najib

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendapatkan usul kepercayaan terhadap kepimpinannya daripada semua ahli parlimen apabila Dewan Rakyat kembali bersidang Isnin depan.

Dalam satu kenyataan hari ini Kit Siang berkata, usul sedemikian membolehkan Najib mengukur sokongan terhadapnya, memandangkan isu skandal hutang RM42 bilion 1MDB yang bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia hari ini, tetapi memberi kesan kepada generasi akan datang.

“Walaupun belum pernah ada duluan usul tidak percaya dalam Parlimen Malaysia sepanjang 56 tahun lalu, terdapat duluan bagi usul undi percaya terhadap Perdana Menteri,” kata Kit Siang.

Menurut Kit Siang, ia pernah diusulkan di Dewan Rakyat pada 27 Januari 1976 oleh Tun Hussein Onn (ketika itu Datuk) apabila beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ketiga selepas kematian Tun Razak.

Sebelum ini terdapat cadangan supaya Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat membentangkan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri apabila Parlimen kembali bersidang pada 18 Mei.

Kata Kit Siang, rakyat tidak percaya dengan sandiwara yang dipentaskan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, kononnya ‘keadaan tidak pernah sedemikian baik dalam Umno’ dan ‘sokongan untuk Najib tidak pernah sebegitu kuat’.

Malah, Najib dilaporkan berkata, ‘tidak ada sesiapa boleh memisahkan saya dan Muhyiddin’ dan ‘mereka yang memfitnah kami, tidak sayangkan Umno’.

Justeru itu, usul undi kepercayaan terhadap Najib perlu dibuat untuk menjawab bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, malah kepada pengkritik terbesarnya, iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Najib wajar membawa usul percaya di Parlimen pada hari Isnin demi membuktikan kepada negara dan dunia bahawa beliau masih menikmati kepercayaan majoriti Ahli Parlimen negara ini,” tegas Kit Siang. – Roketkini.com