Berita

Isu Tabung Haji: Polis perlu siasat maklumat, bukan pemberi maklumat

KUCHING, 12 MEI: Amaran Ketua Polis Negara Tan Seri Khalid Abu Bakar untuk menyiasat pemberi maklumat (whistle-blower) di bawah Akta Rahsia Rasmi berhubung isu skandal Tabung Haji adalah tidak wajar.

“Sepatutnya polis menyiasat sama ada terdapat salah laku dalam perjanjian, sebaliknya polis lebih fokus untuk menyiasat bagaimana kertas (Lembaga Tabung Haji) LTH telah bocor,” kata Aziz Isa, penyelia Pusat Khidmat DAP Tupong.

Ujarnya, skandal pembelian tanah oleh 1MDB membuktikan pengurusan LTH gagal melaksanakan bukan saja tugas fidusiari, tetapi sebagai pemegang amanah yang merupakan kewajipan besar dalam agama.

Tambah Aziz, dengan begitu banyak faktor negatif berhubung skandal tersebut, sudah pasti berpotensi meletakkan jutaan jemaah haji dalam keadaan bahaya.

“Nampaknya sudah tidak ada apa-apa pilihan lain. Jika di negara lain, pemimpin mereka akan meletakkan jawatan.

“DAP Sarawak menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan semua pimpinan LTH termasuk Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim bertanggungjawab sepenuhnya dengan meletakkan jawatan serta merta,” katanya.

Aziz turut menyenaraikan persoalan yang harus dijawab LTH kepada orang awam.

“Pertama, mengapa LTH mesti membeli sebidang tanah dengan harga RM2,779 kaki persegi daripada 1MDB (yang mendapat tanah tersebut hanya pada RM74.20 kaki persegi).

“Mengapa memanggil ia sebagai satu pelaburan?

“Kedua, mengapa kerajaan tidak terus jual 1.56 ekar tanah tersebut kepada LTH pada harga RM4.5 juta tetapi mesti melalui 1MDB di mana LTH telah membayar lebih RM184 juta?

“Ketiga, jika tanah itu dengan mudah diambil dengan harga RM2,779 kaki persegi, adakah ini bermakna pembayar cukai telah ditipu apabila ia dijual dengan hanya RM74.20 kaki persegi kepada 1MDB?” soal beliau.

Aziz turut mempersoalkan sama ada 1MDB membuat untung daripada pelaburan tersebut atau hanya mendapat hasil daripadaharga diskaun dan kemudiannya menjualnya berlipat kali ganda.

“Kenapa 1MDB tidak mencari pembeli yang sudah bersedia sebelum menjual tanah itu kepada LTH?

“Menariknya, beberapa pemimpin tertinggi LTH juga ahli lembaga 1MDB. Adakah terdapat apa-apa kepentingan peribadi di sini?” soalnya. -Roketkini.com