Berita

Tubuh pasukan bebas, siasat polis ugut rogol peserta wanita himpunan 1 Mei – Gobind

maisara_amira

Sidang media Maisara Amira bersama bapanya Mohamad Asmadi dan peguam di pejabat Empower hari ini.

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Polis perlu menubuhkan badan bebas bagi menyiasat aduan ugutan rogol oleh anggotanya terhadap peserta wanita himpunan #BatalGST, dan kes tersebut tidak boleh dikendalikan mana-mana pegawai dari IPD Dang Wangi.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, ini kerana balai polis itu merupakan tempat di mana dakwaan berlakunya jenayah tersebut.

“Saya menyeru pihak polis menunjukkan bahawa mereka serius dan telus dalam siasatan kes ini.

“Lebih penting lagi bahawa mereka akan melakukan segala yang diperlukan untuk menghapuskan unsur-unsur tidak diingini, seperti tekanan, apabila aduan seperti ini timbul.

“Mereka mesti berusaha memulihkan keyakinan orang ramai bahawa balai polis adalah tempat yang selamat,” kata Gobind dalam satu kenyataan petang ini.

Maisara Amira, 21, seorang wanita yang menyertai himpunan #BatalGST pada 1 Mei lalu mendakwa diugut untuk dirogol oleh polis ketika disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Berikutan ugutan itu, satu laporan polis dibuat Maisara di IPD Petaling Jaya pada 6 Mei.

Maisara berkata, dia menuntut kesnya disiasat di balai polis berlainan dan bukannya oleh anggota di IPD Dang Wangi kerana bimbang berlaku salah guna kuasa dan ketidakadilan.

Tambah Gobind, beliau terkejut apabila dilaporkan bahawa mangsa diminta polis untuk kembali ke balai yang sama untuk diambil keterangan berhubung insiden tersebut.

“Pengadu adalah mangsa oleh salah seorang pegawai di balai tersebut, dan polis mahu dia pergi ke sana untuk membuat kenyataan? kata Gobind menegaskan ancaman rogol oleh anggota pemguatkuasa adalah perkara yang sangat serius.

“Kemudian, bagaimana polis boleh mengharapkan mangsa untuk kembali ke sana untuk diambil kenyataan?

“Ini adalah perkara berkepentingan awam yang akan dibangkitkan di Parlimen minggu depan,” kata Gobind yang juga Ketua Biro Guaman DAP. – Roketkini.com