Berita

Dua tahun di JPM, Paul Low gagal pastikan ketelusan 1MDB

PETALING JAYA, 13 MEI: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini mempersoalkan kemampuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yang gagal menjalankan portfolionya.

Menurut Tony, sikap Paul tidak mempedulikan semua kritikan dan gesaan terhadap 1MDB sejak dua tahun lalu menunjukkan beliau mengorbankan maruahnya yang memiliki reputasi dan rekod yang baik sebelum ini.

“Kenapa Paul Low tak peduli semua kritikan dan desakan (mengenai 1MDB) oleh saya dan rakan-rakan di dalam parlimen dan luar parlimen? Adakah Paul Low tidur sahaja selama dua tahun ini?

“Sementara menteri-menteri lain turut sama harus dipersalahkan kerana gagal mengawal krisis (1MDB) yang semakin meruncing, namun terang lagi bersuluh sikap Datuk Paul Low amat mengecewakan kerana gagal bertindak (dalam isu 1MDB).”kata Tony.

Perdana Menteri Najib Tun Razak melantik Paul sebagai menteri di pejabatnya pada Mei 2013 khusus bagi mengemudi portfolio ‘urus tadbir dan integriti’.

Namun, harapan untuk melihat perubahan dalam pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional yang mengamalkan urus tadbir ‘gali lubang tutup lubang’ terutamanya mengenai 1MDB yang menanggung hutang RM 42 bilion gagal diselia Paul.

Bahkan, terbaru 1MDB cuba diselamatkan menggunakan dana awam melalui Kumpulan Wang Amanah Pesara(KWAP) dan Tabung Haji.

Sikapnya yang acuh tidak acuh meminta rakyat ‘tidak menghukum’ dan ‘tunggu laporan audit’ adalah amat mengecewakan.

“Dulu rakyat menaruh harapan dari Datuk Paul Low kerana reputasinya yang menentang korupsi. Kita harap lebih kerana dia bukan milik mana-mana parti politik dan tak perlu berkompromi mengenai prinsipnya.

“Kini, rakyat Malaysia kecewa kerana dia bukan sahaja gagal jalankan tugas tanpa rasa takut dan pilih kasih. Lebih malang dia jadi pembela pentabiran Najib walaupun jelas sekali rompakan besar-besaran berlaku menerusi 1MDB.

“Rakyat Malaysia jijik melihat Paul Low tunduk kepada keistimewaan berada dalam jabatan menteri,” tegas Tony lagi. – Roketkini.com