Rencana

Filem sebagai wadah kritikan sosial

Allahyarham Dato’ Aziz Sattar suatu ketika dahulu, sewaktu beliau sedang duduk bersama P Ramlee sambil merenung nasib mereka berdua dalam dunia seni, pernah mengatakan, “janganlah kau risau, kau akan hidup seribu tahun lagi, Ramlee.”

Maka benarlah telahan Aziz, setelah lebih empat puluh tahun pemergian P Ramlee, nama beliau hari ini tetap segar dalam ingatan kita. Walaupun jasad beliau sudah tiada, suara, aksi dan seni beliau masih hidup melalui puluhan karya filem dan lagunya yang senantiasa relevan sepanjang zaman. Sesungguhnya, tidak pernah ada dan tidak pernah akan ada seorang seniman seagung beliau yang begitu digemari dan dikasihi oleh semua lapisan masyarakat negara kita.

Sebagaimana diketahui umum, P Ramlee adalah sebutir permata Pulau Pinang. Beliau bukan sahaja dilahirkan dan dibesarkan di negeri ini, malah peringkat awal perjalanan seninya juga bermula di sini. Dengan menjadi seorang pemuzik kampung, P Ramlee kemudian bergerak selangkah demi selangkah ke hadapan dengan menyertai pelbagai pertubuhan muzik seperti Sinaran Bintang Sore dan Orkes Teruna Sekampung sehingga pengembaraannya ke persada yang paling tinggi. Namun, setinggi-tinggi mana pun, pengaruh ciri-ciri Pulau Pinang dalam karya-karyanya tetap ketara. Filem-filemnya kerap menggambarkan masyarakat yang rencam dan kosmopolitan – cerminan masyarakat Pulau Pinang.

Keberkesanan filem sebagai alat propaganda

Filem merupakan salah satu medium yang berkesan dalam penyampaian sesuatu idea ataupun kritikan, sama ada bagi tujuan pendidikan mahupun propaganda. Filem boleh digunakan sebagai alat untuk menggerakkan kuasa progresif masyarakat, yakni untuk merangsangkan pemikiran dan pencerahan terhadap sesuatu idea.

Namun, dalam suasana monopoli di mana halal haramnya sesuatu filem ditentukan oleh kerajaan, maka kecenderungan untuk mempergunakan medium ini untuk melegitimasikan naratif rasmi pemerintah, sepertimana filem Tanda Putera, akan berlaku. Pun begitu, kegagalan filem tersebut untuk menutup kerugian berjuta-juta ringgit menunjukkan bahawa kebijaksanaan rakyat tidak boleh diambil ringan. Filem propagada, walaupun dibuat dengan barisan pelakon terkenal dan kos produksi yang tinggi, tidak semestinya berjaya sekiranya terlalu berat sebelah.

Mungkin peranan filem yang paling utama adalah sebagai wadah kritikan sosial. Ambil sebagai contoh filem trilogi popular The Hunger Games yang mengisahkan usaha penggulingan pemerintah yang menindas rakyat dalam sebuah negara di mana kekayaan rata-rata dibolot oleh golongan elit sementara kaum marhaen terpaksa hidup dalam keadaan papa dan ketakutan. Biasa didengar?

Pada masa yang sama, cerita tersebut juga mengutarakan konsep hiburan sebagai alat penindasan, sebuah idea yang kerap digunakan oleh pemerintah, yakni dalam gelanggang Roman dan perlaksanaan hukuman bunuh di khalayak ramai. Tindakan sedemikian menggunakan keganasan sebagai daya tarikan tetapi pada masa yang sama juga menakutkan rakyat dan mengingatkan mereka kepada padah sekiranya mereka melangkaui garisan.

Kritikan sosial dalam filem P Ramlee

Filem-filem P Ramlee tidak pernah kurang dalam memainkan fungsi-fungsi seperti ini. Walaupun ada yang merasa bahawa karya beliau yang lazimnya luar biasa dan penuh angan-anganan itu sekadar alat pelarian ataupun escapism, P Ramlee sebenarnya berjaya membuka kesedaran masyarakat mengenai kepincangan sosial dan politik zamannya. Bukan sekadar itu, beliau juga mencabar resam kehidupan dan turut meramal realiti masyarakat yang akan datang. Dalam hal ini, beliau sangat berpandangan jauh.

Dalam filem Antara Dua Darjat, Penarek Becha dan Ibu Mertuaku misalnya, P Ramlee berjaya membawa tema pertentangan kelas antara golongan miskin dan golongan kaya pada waktu itu. Tema yang sering diketengahkan P Ramlee ini sangat menarik dan sangat relevan untuk menjelaskan fenomena masyarakat waktu itu. Malah, P Ramlee jarang sekali – dan mungkin tidak pernah – menggunakan kayu ukur kaum atau agama dalam memberi sesuatu penjelasan sosial sebagaimana yang sudah menjadi kelumrahan wacana masyarakat kita pada hari ini.

Tambahan pula, kritikan terhadap sikap para pemimpin yang tidak bertanggungjawab juga dizahirkan dengan jelas dalam filem-filemnya. Di dalam Nujum Pak Belalang dan Musang Berjanggut contohnya, P Ramlee mengkritik sikap pemimpin yang sambil lewa dalam memimpin, banyak menghabiskan masa dengan hal-hal yang tidak berfaedah, kurang berfikir dan sebagainya. Demikianlah cara Allayarham menggunakan medium filem untuk menyampaikan buah fikiran, kritikan sosio-politik serta provokasi intelektual dalam usaha pencerahan masyarakat.

Menghidupkan semula cara pandang dunia P Ramlee

Sesungguhnya, banyak yang boleh kita pelajari daripada sosok P Ramlee dan filem-filemnya ini. Daripada kisah hidupnya sebagai seorang budak kampung sehinggalah menjadi seorang seniman agung. Nilai-nilai yang dibawa melalui filem-filemnya perlu kita hayati dalam kehidupan kita, bukan hanya bagi mereka yang terlibat dalam industri perfileman atau kegiatan seni lain, malah juga bagi kita sebagai anggota masyarakat madani.

Oleh itu, Penang Institute sekali lagi mengambil langkah menganjurkan siri forum bersempena dengan Festival P Ramlee tahun 2015, bagi menyegarkan kembali ingatan serta mencetuskan ilham baru mengenai hasil karya P Ramlee dan hubungannya dengan masyarakat Pulau Pinang serta Malaysia secara am.

Forum yang bertajuk “Hiburan dan Kritikan: Seniman, Seni dan Keadilan Sosial dalam Filem P Ramlee” ini bertujuan untuk mengupas permasalahan sosial yang cuba diketengahkan oleh P Ramlee dalam karyanya. Sepertimana yang saya mengutarakan tadi, bakat Seniman Agung kita ini tidak terbatas kepada aksi luci yang membuatkan penonton tidak kering gusi, tetapi dalam masa yang sama beliau juga berjaya membuat teguran atau kritikan sosial.

Justeru, saya harap kita boleh memanfaatkan perbincangan kita pada petang ini dengan barisan panel yang sangat tersohor dan tidak asing kepada kita, iaitu Sasterawan Negara Dato’ A Samad Said ataupun Pak Samad, Dr Mahyuddin Ahmad dan Hassan Muthalib. Tugas mengendalikan perbicangan pula akan dilaksanakan oleh moderator Dr Ngo Sheau Shi.

Sekian, selamat berforum.