Berita

Insinerator Pangkor tak ikut piawai antarabangsa, Menteri perlu beri penjelasan

PANGKOR, 13 MEI: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan diminta menjelaskan alasan insinerator Pangkor menolak cadangan menggunapakai piawaian Jepun dalam pengurusannya.

Menurut Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming, sebelum ini Gabungan Anti Insinerator Kebangsaan(GAIK) diberi jaminan bahawa insinerator di Malaysia akan menggunapakai piawaian Jepun dalam pengurusannya di Malaysia.

“Semasa perjumpaan pada 30 Januari 2015, pihak GAIK diberi jaminan bahawa piawaian ketat yang dipakai di Jepun akan dipatuhi kerajaan Malaysia.

“Namun, kami amat kesal apabila pihak pengurusan insinerator terus menolak permintaan GAIK,” ujar Kian Ming.

Kata Kian Ming, pada 8 Mei lalu, GAIK telah membuat lawatan ke insinerator Pangkor atas kebenaran Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

Namun, lawatan kedua GAIK ke insinerator kontroversi itu mendapati, masih terdapat kelemahan pengurusan oleh kontraktor XCNT Sdn Bhd.

“Lawatan pada Mei baru-baru ini mendapati ada penambahbaikan seperti pembinaan dinding simen untuk menghalang air larut lesap terlimpah ke jalan raya.

“Namun kekhuatiran pencemaran air bawah tanah masih wujud, ujar Kian Ming.

GAIK dalam kenyatannya mendedahkan, sekurang-kurangnya lima perkara diabaikan XCNT termasuk kegagalan fungsi sistem CEMS, tiada pemantauan pelepasan merkuri, ketiadaan makmal pemantauan tahap pencemaran dan larangan mengambil gambar.

CEMS adalah sebuah sistem yang berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar Perak, dan bacaan dari bilik kawalan harus dipaparkan di luar loji untuk makluman awam.

Ujar Kian Ming, GAIK menyeru kerajaan menilai semula sebarang cadangan pembinaan insinerator baru agar masalah yang dihadapi seperti mana Pangkor tidak berulang lagi.

“GAIK berpendapat pembinaan incinerator Pangkor dilaksanakan tanpa usaha pemisahan sampah membawa masalah pencemaran dan kesihatan kepada alam sekitar dan penduduk.

“GAIK menyeru kerajaan mengkaji semula cadangan membina lebih banyak insinerator dengan mengambil kira pandangan GAIK,” tegas Kian Ming. – Roketkini.com