Berita

Berhenti berbohong dengan rakyat tentang kad prabayar, gesa DAP

KUALA LUMPUR,14 MEI: Sandiwara Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato Sri Ahmad Shabery Cheek mempertahankan syarikat-syarikat telekomunikasi dan berbohong bagi pihak mereka adalah satu pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat.

Shabery dilaporkan telah mengumumkan semalam bahawa harga kad prabayar kembali ke harga asal, namun pengguna masih tetap dikenakan Cukai Barangan dan Pekhidmatan (GST) berdasarkan penggunaan.

Pengumuman itu ternyata satu muslihat apabila kad prabayar dengan harga lama tersebut tidak mengecualikan GST dan pengguna hanya menerima nilai kredit RM9.43 bagi kad prabayar yang berharga RM10.00.

“Pengumuman Shabery itu jelas adalah satu pembohongan kerana pengguna tidak lagi menerima kredit RM10 bagi setiap pembelian RM10. Sebaliknya, mereka hanya menerima RM9.43 perkhidmatan panggilan untuk setiap RM10 yang dibayar,” ujar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

“Langsung tidak ada beza berbanding kenaikan penuh kontroversi oleh syarikat telekomunikasi pada 1 April lalu apabila pengguna perlu membayar RM10.60 untuk mendapat nilai kredit RM10,” tambahnya.

Sebelum GST dilaksanakan pada 1 April lalu, pengguna menerima kredit RM10 bagi setiap pembelian kad prabayar berharga RM10 kerana syarikat telekomunikasi telah menyerap cukai jualan dan perkhidmatan yang dikenakan ke atas mereka sebelum ini.

Dengan menggunakan peralihan cukai lama kepada GST sebagai satu muslihat, Tony mendakwa Shabery bersubahat dengan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk mengenakan kenaikan harga sebanyak 6%.

Menurut Tony lagi, Shabery sepatutnya tahu bahawa sikap mengambil kesempatan oleh syarikat telekomunikasi bagi menaikkan harga bukan sahaja melanggar Akta Anti Pencatutan, malah turut melanggar klausa persaingan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tahun lalu, walaupun menyerap cukai 6%, Maxis Communications, Digi Telecommunications dan Celcom Axiata masing-masing mendapat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.44 billion, RM2.65 billion dan RM3.1 billion,”

“Secara keseluruhan, mereka telah mengutip sebanyak RM12.8 bilion keuntungan daripada perkhidmatan prabayar,” tambah Tony lagi sambil bertanya kenapa kerajaan begitu teruja mahu membantu syarikat-syarikat ini menambah keuntungan mereka.

“Pentadbiran Najib mesti hentikan sikap bermuka-muka mengambil tindakan terhadap peniaga kecil kerana didakwa mencatut harga, sementara jerung besar dilepas bebas,” tegas Tony. – Roketkini.com