Berita

Keadilan untuk Teoh Beng Hock, bukannya wang ringgit

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Mengenakan hukuman terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam perbuatan jenayah kepada mendiang adalah perkara paling utama berbanding bayaran ganti rugi RM600,000, kata keluarga Teoh Beng Hock.

“Kami ingin menyatakan, perkara paling penting ke arah penyelesaian isu ini bukanlah wang ringgit tetapi penerimaan di pihak defendan bahawa mereka bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock,”

“Dua hari lalu kami bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini kerana defendan akhirnya mengaku bahawa mereka bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock,”

“Setelah bertahun-tahun berjuang, kini kami akhirnya mendapat pengakuan. Bagi kami, ini menandakan satu kemenangan besar,” kata mereka dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 12 Mei lalu, setelah enam tahun berjuang, kerajaan akhirnya telah diarahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM600,000 dan kos sebanyak RM60,000 kepada keluarga Teoh Beng Hock setelah mengakui kecuaian mereka telah menyebabkan kematian mendiang pada 2009.

Keluarga Teoh sebelum ini menyaman 10 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan Malaysia dan SPRM sendiri kerana cuai ketika mendiang berada dalam jagaan mereka dan mengakibatkan kematiannya.

Keluarga Beng Hock menyaman dan menuntut pampasan terhadap kesedihan yang mereka alami, kehilangan tempat bergantung dan kecuaian pihak defendan.

Keluarga bekas Setiausaha Politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah itu bagaimanapun tetap berpegang kepada keputusan Mahkamah Rayuan dan menuntut supaya pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab yang menyebabkan kematian.

“Kita mempunyai penghakiman Mahkamah Rayuan dan kini akan memberi tumpuan kepada pihak polis serta permohonan bahawa siasatan lanjut dilakukan dalam perkara itu.

“Kami tidak akan putus asa sehingga mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian beliau didakwa dan dihukum serta keadilan dapat diberikan untuk Teoh Beng Hock,” tegas mereka.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa kematian mendiang Beng Hock enam tahun lalu adalah diakibatkan perbuatan pihak-pihak tidak bernama termasuk pegawai-pegawai SPRM.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Datuk Haji Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Mah Weng Kwai bersetuju bahawa majistret Mahkamah Koroner serta Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memberi penghakiman terbuka terhadap siasatan kematian. – Roketkini.com