Berita

OECD: Pencapaian matematik dan sains Vietnam, Thailand lebih baik dari Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Kajian Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam Sains dan Matematik mendapati Malaysia berada di kedudukan ke 52, lebih rendah daripada Thailand dan Vietnam.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dalam satu kenyataan menggesa kerajaan mengakui kelemahan sistem pendidikan negara dan melakukan kajian segera untuk memperbaikinya.

“Jika pembuat dasar negara tidak mengakui kelemahan dalam sistem pendidikan sekarang ini, kedudukan kita akan jatuh lagi di belakang jiran-jiran Asia lain dan terus ketinggalan dari segi daya saing ekonomi,” kata Kian Ming dalam satu kenyataan.

Kajian OECD dilakukan berdasarkan markah ujian pelajar berusia 15 tahun dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke 52 daripada 76 negara, jauh ketinggalan dibelakang Thailand (47), Kazakhstan (49) dan Iran (51).

Berdasarkan kedudukan negara-negara Asia Tenggara, Malaysia juga dimalukan oleh Vietnam yang berada di kedudukan lebih baik iaitu ke 12.

Negara jiran, Singapura berada pada kedudukan pertama, diikuti Hong Kong, Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.

Justeru itu, Kian Ming menyarankan kerajaan mengambil pengajaran daripada apa yang pernah berlaku kepada sistem pendidikan Sweden.

“Sweden pernah mempunyai sistem pendidikan yang terbaik di kalangan negara-negara OECD tetapi mengalami penurunan mendadak dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) bermula dari tahun 2000.

“Penurunan ini mendorong kerajaan Sweden untuk meminta OECD mengkaji semula sistem pendidikan mereka pada 2014.

“Dalam kedudukan terkini OECD, Sweden berada di tangga 35, antara terendah di kalangan negara-negara OECD,” ujarnya.

Tambah Kian Ming, kedudukan dalam OECD adalah isyarat jelas kepada Kementerian Pendidikan bahawa Malaysia sama sekali jauh daripada memiliki pendidikan yang kononnya ‘bertaraf dunia’.

Butiran penuh kajian OECD akan dikeluarkan pada Forum Pendidikan Dunia 2015 di Seoul, Korea Selatan minggu depan. – Roketkini.com