Berita

Kit Siang: Hudud tidak wajar jadi pemisah

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Bersandarkan kepada hujah daripada sarjana Islam, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, mana-mana pihak yang menyatakan tidak setuju pelaksanaan hukuman hudud tidak boleh dijadikan alasan dituduh anti-Islam.

Bercakap di Padang Perdana di Kota Bharu, Kelantan, Kit Siang berkata hudud tidak wajar dijadikan pemisah antara masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian budaya, agama dan kaum.

“Saya rasa mengikut perlembagaan, tak sesuai ada pelaksanaan hudud. Pandangan ini bukan kerana saya anti-Islam.

“Kalau kita lihat pandangan ini sebagai anti-Islam saya rasa ia tidak memberi apa-apa kebaikan kepada masyarakat kita.

“Adakah lima perdana menteri kita- Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan Tun Abdullah – mereka anti-islam? Adakah UMNO anti-Islam?” katanya di depan ribuan hadirin baru-baru ini.

Isu hudud menjadi polemik di kalangan Pakatan Rakyat apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkeras mahu membawa usul persendirian di parlimen bagi melaksanakan hudud di Kelantan.

Kandungan penuh ucapan Kit Siang boleh dibaca di seksyen rencana.