Berita

Tony: Arul tiada pilihan kecuali jawab

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kandasamy didesak menjelaskan penglibatannya dalam transaksi pinjaman bernilai AS$975 juta (RM 3.6 bilion) antara agensi itu dengan Abu Dhabi Commercial Bank (ADCB).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, sebelum ini ada media mempertikaikan latar belakang Arul sebagai salah seorang pegawai dalam bank berkenaan ketika pinjaman dibuat pada 1 September 2014

Menurut laporan itu Ananda adalah kakitangan ADCB ketika 1MDB membuat perjanjian dengan anak syarikat International Petroleum Investment Corporation (IPIC), Aabar Investment Limited (Aabar).

Selain Aabar, ADCB juga adalah satu daripada anak syarikat IPIC.

Kata Tony, Arul tidak ada pilihan kecuali menjawab semua dakwaan yang disiarkan media itu.

“Sikap berdiam diri Arul hanya akan mengukuhkan spekulasi bahawa beliau mempunyai kepentingan dan menyebabkan 1MDB harus dikorbankan,” katanya.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, Arul perlu mendedahkan jumlah yang perlu dibayar 1MDB untuk menebus kembali aset menerusi perjanjian pinjaman dengan Aabar.

Katanya, melalui kenyataan kewangan pada Mac 2014, 1MDB membayar AS$250 juta melalui kemudahan pinjaman pada Mei 2014.

“Namun jumlah itu belum dimuktamadkan dan bergantung kepada nilai tawaran awal awam,” katanya.

Menurut Tony, mungkinkah AS$975 juta juga digunakan untuk membayar Aabar? Jika ya, 1MDB nampaknya terpaksa membayar jumlah tinggi sehingga AS$1.23 bilion kepada syarikat-syarikat di Abu Dhabi bagi mendapatkan jaminan dari IPIC untuk pinjaman bernilai AS$3.5 bilion.

Walaupun begitu, Tony mengatakan 1MDB tetap tidak dapat melepaskan dirinya daripada belenggu jaminan antara syarikat-syarikat tersebut yang disifatkannya sebagai “ah long antarabangsa” sekaligus meletakkan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak terus tercalar.

“Pentadbiran Najib dan Barisan Nasional sudah tercemar dan tidak boleh diperbaiki lagi gara-gara kecuaian Lembaga Pengarah 1MDB,” katanya.