Berita

GST diskriminasi pekerja muda, siswazah

BUKIT MERTAJAM, 16 MEI: Kemiskinan yang dihadapi belia semakin parah dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Menurut Steven, pelaksanaan GST jelas membebankan, lebih-lebih lagi dalam keadaan golongan belia di negara ini yang berdepan masalah pengangguran.

Steven yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP berkata, pekerja muda dan siswazah kini berdepan masalah kemiskinan kerana majoriti golongan itu berpendapatan kurang dari RM 1,500, satu jumlah pendapatan yang dianggap sebagai miskin di Selangor.

“Kajian Penang Institute menunjukkan jika ketua isi rumah adalah di bawah 24 tahun, mereka akan membayar GST lebih tinggi mengikut kadar pendapatan berbanding dengan golongan lain.

“Pelaksanaan GST pasti memberi kesan paling buruk terhadap ekonomi golongan penganggur, baik siswazah atau bukan, dan jelas mendiskriminasi kedua-dua golongan itu.

“Majoriti pekerja muda di Malaysia, iaitu sebanyak 67% mendapat gaji sebulan di bawah RM 1,000, sementara 21% mendapat gaji antara RM 1,000 hingga Rm 1,500.

“Dengan kata lain, 88% peratus pekerja muda di Malaysia mendapat gaji kurang dari RM 1500,” jelas Steven.

12 Mei lalu, dalam satu kenyataan,Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengakui masalah pengangguran di kalangan belia walaupun sebelum ini mengatakan Malaysia hanya berdepan msalah empat peratus kadar pengangguran di Malaysia.

Pusingan ‘U’ Wahid itu membuktikan dasar kerajaan UMNO-Barisan Nasional itu akhirnya akan meninggalkan beban ekonomi kepada generasi muda.

“Masa depan semakin gelap bagi orang muda di Malaysia di bawah dasar kroni kapitalis rejim Barisan Nasional.

“Ini pasti meninggalkan kesan ekonomi besar kepada generasi muda, dan kesan ini akan dirasai mereka sekurang-kurangnya satu dekad dari sekarang,”jelas Steven. – Roketkini.com