Berita

Perdagangan manusia – PM berjenaka

SERDANG, 16 MEI: Ucapan Perdana Menteri Najib Tun Razak mengenai komitmen kerajaan yang tidak akan tolak-ansur dalam usaha membasmi pemerdagangan manusia dipersoalkan kerana fakta tidak menunjukkan realiti semasa.

Hal ini demikian kerana Najib tidak mempunyai kesungguhan politik melaksanakan langkah-langkah bermakna bagi menangani isu itu.

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata, jika Malaysia benar-benar tidak bertolak-ansur dengan sebarang bentuk pemerdagangan manusia, mengapa negara ini masih menduduki kedudukan tercorot dalam laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai pemerdagangan manusia 2014.

“Kenyataan perdana menteri adalah jenaka memandangkan rekod Malaysia paling corot dalam jenayah penyeludupan manusia dan tiada kesungguhan politik melaksanakan langkah-langkah bermakna menangani kelemahan serius,”ujar Kian Ming.

Menurut Kian Ming, laporan dari Amerika itu menyatakan “kerajaan tidak patuh sepenuhnya dengan piawaian minimum dan tidak berusaha sungguh-sungguh berbuat demikian.”

Ekoran itu Kian Ming berkata antara dasar bermasalah di Malaysia adalah pelarian tidak diberikan status rasmi bagi mendapatkan permit kerja sehingga menjadikan mereka terdedah kepada aktiviti pemerdagangan manusia. – Roketkini.com