Berita

Khalid Samad: Kit Siang tidak hina Islam

SHAH ALAM, 18 MEI: Tidak ada sebarang bukti menunjukkan pemimpin DAP, Lim Kit Siang menghina Islam ketika menyampaikan ucapannya dalam sebuah majlis ceramah di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad malah mencabar pihak tertentu yang berasa kurang senang dengan Kit Siang supaya menunjukkan bukti bagi mengukuhkan tuduhan mereka.

Menulis dalam blognya, Khalid berkata, ucapan Ketua Parlimen DAP itu di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini hanya menjelaskan pendirian parti itu dalam isu hudud, selain cuba mencari perdamaian.

LKS Kukuhkan Pakatan, Hancurkan BarisanKata Khalid, sepanjang ucapan itu Kit Siang langsung tidak menyinggung kesucian Islam.

“Kalau dikatakan ada, maka amat diharapkan agar (pihak yang berkenaan) kemukakan bukti di perenggan mana dan ayat mana ia dilakukan,” katanya.

Beliau menegaskan, PAS sepatutnya berbangga apabila ada orang bukan Islam bercakap mengenai agama itu dan jika ada sebarang salah faham, ia sepatutnya ditegur dengan baik.

“Mungkin ada yang kita tidak setuju dengan kata-kata Kit Siang, khususnys berhubung percanggahan dari sudut perlembagaan.

“Tapi adakah perlu dia difitnah dengan menuduh beliau menghina Islam, umat Islam atau hudud?” soal Khalid.

Kit Siang pada 14 Mei lalu menyatakan, pendirian DAP terhadap hudud tidak seharusnya dianggap anti-Islam.

Menurut Kit Siang, DAP ‘menentang’ hudud hanya kerana ia dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga mengakui DAP berusaha memahami isu hudud dengan menghantar rombongan ke negara Islam di Timur Tengah.

Kit Siang sendiri, katanya, sendiri membaca buku tulisan sarjana serta ulama Islam yang dihasilkan dalam isu hudud. – Roketkini.com

Transkrip ucapan Kit Siang boleh dibaca di sini